Saturday 17 December 2011

Kelembaban Anggota JKKK dan Ketua Kampung : Siapa Yang Harus Dipertanggunjawabkan?

Hakikatnya, komposisi masyarakat desa di Sabah sudah jauh berubah kerana latar pendidikan dan ekonomi yang semakin meningkat. Adalah malang sekali jika latar belakang pendidikan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung sendiri yang kurang menyerlah hingga menyebabkan kredibiliti mereka di kaca mata masyarakat kurang diberi perhatian. Lantas itu, anggota-anggota ini bukanlah sumber maklumat yang boleh diberi kredibiliti oleh masyarakat.

Melihat fenomena ini, suatu kriteria yang standard perlu diguna pakai dalam proses pemilihan keanggotaan JKKK dan Ketua Kampung. Kelayakan akademik, pengalaman dan kepakaran seseorang itu perlu dijadikan kayu ukur penilaian kelayakan memegang tanggungjawab tersebut, bukan tangkap muat caranya.

Di sesetengah tempat di Sabah ini, JKKK dan Ketua Kampung sekadar digerakkan oleh individu yang mahu menghabiskan masa lapang mereka atau sebagai pengisi masa persaraan, atau sebagai saluran kedua mengasah bakat kepemimpinan politik. Yang jelas sekali, kebanyakkan anggota dilantik ini terdiri dari ketua-ketua cawangan parti dan yang aktif dalam politik.

JKKK dan Ketua Kampung, pada dasarnya ialah jentera kerajaan yang paling penting di peringkat akar umbi. Anggota ini adalah penggerak pembangunan dan kemajuan sesebuah kampung, walaupun secara praktisnya mereka ini kekal sebagai badan sukarela yang ditadbirkan secara separuh masa.

Sungguhpun tidak dinafikan terdapat beberapa JKKK dan Ketua Kampung yang berjaya mengemudi program pembangunan di kampung-kampung mereka, lantas setiap penduduk tersebut telah menerima kredit atas kejayaan berkenaan. Sebenarnya, masih banyak lagi JKKK dan Ketua Kampung yang lesu mengurus pembangunan di kampung masing-masing, dan tanpa perlu memikul bebanan liability sebagai akibat kelembaban mereka.

Rasanya bukan SR seorang saja yang memikirkan hal ini, mungkin banyak lagi di luar sana mengakuinya bahawa untuk melaksanakan setiap program melalui kerajaan memang suatu tugas yang agak rumit. Tetapi, dengan pendekatan baru dan rombakan dalam JKKK dan Ketua Kampung, setiap program kerajaan itu tentu sekali dapat diurus tadbir secara professional sepenuh masa oleh individu yang berkelayakan. Dengan rombakan seumpama ini sebagai akibatnya, penduduk kehidupan luar Bandar dijangka akan meningkat, sekali gus mengurangkan jurang pendapatan mereka dengan orang lain yang telah maju. 

Secara tuntas, komunikasi antara JKKK dan Ketua Kampung dengan masyarakat masih menjadi halangan utama dalam usaha memasyarakatkan dasar-dasar yang di bawa oleh kerajaan. Halangan ini kemungkinan berpunca daripada ketidakupayaan dua anggota ini menyebarkan maklumat atau boleh juga berpunca daripada kekurangan pengetahuan yang tidak diakui oleh ahli-ahli JKKK dan Ketua Kampung itu sendiri. Keadaan menjadi lebih menekan dan rumit lagi jika cara gaya kepimpinan JKKK dan Ketua Kampung itu lebih bersifat kumpulan eksklusif yang melaksanakan program-program kerana agenda-agenda tertentu.

Bagi menggerakkan JKKK dan Ketua Kampung dalam gerakan yang lebih berupaya dan perkasa, ia memerlukan tindakan dan program perubahan serta reformasi yang drastic. Hakikatnya, kerajaan negeri dan pihak politikus yang mencanangkan mereka-mereka ini seharusnya melatih dan memotivasi anggota JKKK dan Ketua Kampung untuk merealisasikan dan menjayakan setiap program-program kerajaan bagi kesejahteraan dan kemakmuran serta kerharmonian setiap penduduk kampung tanpa terselit sesuatu agenda tertentu. Matlamat kita ialah ingin melahirkan anggota JKKK dan Ketua Kampung yang bertindak secara professional dan telus serta mempunyai akauntabiliti penuh atas semua tindakan mereka. 

Cuba lihat realitinya sekarang ini, SR bukan menuding jari mana-mana pihak atau merendah-rendahkan kebolehan sesiapa. Ada mata tengok-tengok, ada telinga tolong dengar-dengar dan ada akal cuba fikir baik-baik tanpa emosi. Sama-sama kita perbaiki dua anggota ini, jangan sampai orang lain tertawakan kita melihat keadaan dan tanggungjawab dua anggota yang mewakili kampung kita di mana-mana jemputan dan program nun di luar sana.

No comments:

Post a Comment