Saturday 17 December 2011

Sabah Dapat Kouta 4500 Tan Metrik Subsidi Minyak Sawit, Sebahagiannya Disalahgunakan.

Sejak kebelakangan ini, semakin banyak isu-isu yang dipaparkan tentang penyelewengan dan ketirisan yang berlaku di dalam kerajaan UMNO/BN. Lain lagi halnya dengan kritikan keras dari mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir yang sering kali bersuara lantang menyuarakan pandangan terhadap isu-isu krisis dalaman kerajaan di bawah terajuan Najib Razak. Beliau berharap krisis yang melanda dalam kepimpinan Najib ini dapat diselesaikan dengan baik seperti isu NFC, Shahrizat Abdul Jalil contohnya.

Petang semalam, SR telah dihubungi oleh seorang rakan yang beria-ia sungguh memohon kouta pasaran tempatan minyak sawit bersubsidi. Beliau (namanya ingin dirahsiakan) melahirkan rasa dukacitanya dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, di bawah kuasa menteri Tan Sri Bernard Dompok yang telah menolak permohonan beliau. Semua syarat telah dipenuhi, katanya.

Sabah mempunyai kouta subsidi minyak sawit sebanyak 4500 tan metric sebulan dalam pasaran tempatan. Dimaklumkan, hanya 1000 lebih tan metric sahaja telah diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu, katanya lagi. 

Isu ini agak menarik, lalu SR menyelongkar kes tersebut dengan mendapatkan maklumat dan sumber-sumber tepat dari pihak-pihak yang berkaitan. Apa yang SR dapati antaranya, suatu ketika dahulu Syarikat Alonto telah mendapat kouta 300 tan metrik, tetapi telah menyalahgunakan kouta tersebut dengan memasarkannya ke luar Negara di Filipina. Sedangkan subsidi minyak sawit ini hanya untuk pasaran tempatan sahaja bagi memenuhi keperluan pengguna.

Setelah didapati Syarikat Alonto menyalahgunakannya, maka kouta tersebut telah ditarik balik. Namun, kouta itu telah diberikan pula dengan begitu mudah sekali kepada Syarikat Permata beralamat di Jalan Bundusan, Penampang, Sabah yang dimiliki oleh penama Koh Bong Seng, seorang taukeh cina.

Syarikat Permata tidak mempunyai sebarang peralatan pembungkusan malah memasarkan atau mengedarkannya kepada syarikat-syarikat tertentu, sedangan ia adalah pasaran bagi keperluan pengguna. Bila SR menghubungi PORLA (Palm Oil Registration and Licensing Authority), tindakan seumpama Syarikat Permata ini memang menyalahi undang-undang perlesenan dan peraturan kementerian.

Persoalannya di sini, siapakah taukeh cina tersebut?. Apakah pihak kementerian tidak maklum akan hal berkenaan?. Kenapa syarikat-syarikat berkeupayaan tidak diberi peluang?. Kenapa sering saja berlaku catuan minyak masak di negeri ini?. Kenapa Syarikat Permata begitu mudah sekali mendapatkan kouta tersebut?. Atau, taukeh itu adalah proksi pihak-pihak tertentu. Jawabanya cari sendiri, tepuk dada tanya selera. 

Industri minyak sawit adalah penyumbang besar kepada pembangunan pesat ekonomi negara. Pada tahun 2008 sahaja, Malaysia mengeluarkan 17.7 juta tan metric minyak sawit mentah dan mengeksport keluaran minyak sawit bernilai RM65.2 bilion.

No comments:

Post a Comment