Tuesday 3 January 2012

SABAH Bukan Fixed Deposit UMNO/BN : Anak Muda di Saluran 4 Penentu Kemenangan

Sabah merupakan kebanggaan UMNO/BN sebagai ayam ternakan atau itik belaan untuk dapatkan majoriti mudah dan memenangi PRU 13 nanti. Sebanyak 25 kerusi Parlimen merupakan fixed deposit pada andaian UMNO/BN. PRU 12 yang lalu, 24 kerusi adalah milik UMNO/BN sepenuhnya, dan selebihnya satu kerusi dimenangi oleh DAP iaitu kawasan P172 Kota Kinabalu.

SR telah membuat sedikit analisis keputusan PRU 12 kawasan Parlimen yang lalu di Sabah, dan mendapati Pakatan Rakyat mampu menggugat keupayaan atau kedudukkan UMNO/BN pada PRU 13 dengan beberapa pendekatan serta strategi yang seharusnya diguna pakai sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat berdasarkan keputusan PRU 12 sekiranya berlaku pertandingan satu lawan satu, perhatikan analisis ini;

STATISTIK PRU12 (2008) JIKA BERLAKU PERTANDINGAN 2 PENJURU DI PARLIMEN

Berdasarkan analisis keputusan PRU 12 tersebut, di dapati majoriti BN sebenar apabila dijumlahkan undi pembangkang (PKR, DAP, BERSEKUTU dan BEBAS) amatlah tipis sekali terutama kawasan-kawasan seperti berikut di bawah:-
  1. P168 Kota Marudu (2,632)
  2. P169 Kota Belud (3,020)
  3. P172 Kota Kinabalu (majoriti DAP bertambah kepada 10,473)
  4. P174 Penampang (1,963)
  5. P176 Kimanis (3,838)
  6. P180 Keningau (3,704)
  7. P181 Tenom (3,899)
  8. P183 Beluran (3,081)
  9. P185 Batu Sapi (3,708)
  10. P186 Sandakan (DAP menang dengan majoriti 2,753)
  11. P190 Tawau (1,589)
Kawasan-kawasan ini, UMNO/BN hanya memperoleh majoriti sekitar 4,000 dan ke bawah. Dalam kawasan P186 Sandakan contohnya, sekiranya tidak berlaku pertembungan lebih dua penjuru, DAP yang mendapat undi 8,121 dan bila ditambah dengan undi BEBAS 2,929 maka DAP menang dengan majoriti 2,753 undi berbanding kemenangan BN yang hanya mendapat majoriti 176 sahaja. Bagaimana UMNO/BN melihat dengan daftar pengundi baru di saluran 4 yang rata-ratanya golongan anak muda menjelangnya PRU13 nanti?.

Pakatan Rakyat perlu merencana sesuatu strategi yang jitu serta mempamerkan sikap yang lebih terbuka lagi untuk memenangi hati rakyat (pengundi). Untuk menang dengan selesa, PR sekurang-kurangnya memperolehi sokongan 70% daripada pengundi sebenar iaitu pengundi warga negara. Dengan melaksanakan beberapa pendekatan yang boleh meyakinkan mereka.

Selain itu, pengundi bawah tanah (hantu) perlu di atasi dengan bijaksana. Pengundi-pengundi ini bukan sahaja terdiri daripada PATI, tetapi pengundi tempatan yang dimanipulasikan dari daftar pemilih dengan mengundi lebih daripada sekali dan termasuklah pemilih yang sudah meninggal dunia yang belum dibuang daripada daftar pemilih.

Kemenangan UMNO/BN bukanlah faktor sokongan sepenuhnya daripada pengundi tempatan, tetapi telah dibantu oleh pengundi bawah tanah, pos dan beberapa teknik (strategi) yang dikira amat penting untuk memenangi pilihan raya tersebut. Contohnya polling agent, counting agent serta barung agent (PACABA) yang sangat berperanan untuk mempengaruhi keputusan. PACABA amat berperanan terhadap kemenangan sesebuah parti dan ini kerap kali dimanipulasi oleh UMNO/BN sepenuhnya.

Perkara utama yang perlu diambilkira oleh Pakatan Rakyat ialah;
  • Wujudkan persefahaman dengan parti-parti lain terutama parti tempatan.
  • Elakkan pertembungan lebih dua penjuru, dan sewajarnya satu lawan satu.
  • Bangkitkan isu-isu tempatan yang berkaitan dengan kepentingan orang Sabah serta pribumi, antaranya;'
  • Hak milik tanah, yang mana tanah-tanah di Sabah dengan mudah diberikan  kepada syarikat-syarikat tertentu yang melibatkan kepentingan para pemimpin tempatan.
  • Royalti minyak 5% yang diberikan oleh kerajaan persekutuan (UMNO/BN), sedangkan PR menawarkan 20% kepada rakyat Sabah.
  • Kewujudan GLC seperti FELDA, FELCRA, RISDA, LKIM, JAKIM, Lembaga Koko dan sebagainya yang di bawa masuk ke Sabah. Semuanya ini dimonopoli oleh orang Melayu Semenanjung Malaysia, terutamanya staf bawahan dari perkeranian hinggalah ke Pengarah. Bagaimana pengangguran di Sabah dapat di atasi, anak pribumi Sabah tiada peluang langsung mengisi jawatan-jawatan tersebut. 
  • Strategi kerajaan Negeri yang tidak berkesan dan mengambil tanggungjawab untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar. Kerajaan Negeri hanya menumpukan pembangunan sepenuhnya terhadap pemodenan bandar-bandar utama dengan projek-projek mega yang kurang diperlukan sekarang, berbanding penduduk luar bandar yang miskin dan terbiar.
  • Kes-kes korupsi para pemimpin BN tempatan yang telah terbukti rasuah, tetapi belum diambil tindakan, dan banyak lagi sumber-sumber berfakta yang perlu dicanang untuk dihebahkan kepada rakyat Sabah.
  • Penghinaan atau sintimen kaum dan agama yang banyak diwar-warkan oleh UMNO, terutama sekali peranan PERKASA dan golongan elit Melayu yang anti Cina, India dan penganut agama lain di negara ini.
  • Ketirisan berlaku yang telah dibongkar oleh UMNO sendiri, contohnya isu NFC Datuk Sharizat, Datuk Dr Mohd Khir Toyo dengan rumah agamnya, Datuk Jamil Khir Bahrom dengan isu zakat, dan banyak lagi kes-kes seumpama ini yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO/BN
  • Perpecahan UMNO di Sabah, dulunya Datuk Shafie, Datuk Salleh dan Tan Sri Pandikar satu geng dalam USBO lawan geng Datuk Musa. Sekarang, Datuk Shafie lawan Datuk Musa, Datuk Salleh dan Tan Sri Pandikar. Terkini, Datuk Musa dan Datuk Salleh serta Kabinet Negeri lawan Datuk Lajim, Datuk Ghapur dan Datuk Bung Mokhtar, manakala Datuk Shafie dan Tan Sri Pandikar senyap sahaja pasang strategi. Dalam komponen BN, UPKO, PBRS dan LDP mula menyerang UMNO dengan isu PATI.
Merujuk kepada analisis dan beberapa kes yang melibatkan negeri dan pusat, UMNO/BN Sabah sudah tentu akan menghadapi saingan sengit daripada Pakatan Rakyat dalam PRU 13 nanti. Kemenangan tipis di beberapa kawasan tersebut memberi gambaran jelas bahawa UMNO/BN tidak memiliki kekuatan sebenar seperti yang diwar-warkan. UMNO/BN dengan strateginya, pasti akan menaja calon-calon bebas atau parti-parti tempatan di luar gabungan Barisan Nasional untuk mengelirukan pengundi atau rakyat, kerana UMNO/BN masih yakin bahawa para pengundi UMNO/BN di PRU 12 lalu masih kekal memberi sokongan.

Pertembungan lebih dua penjuru akan menguntungkan UMNO/BN, ini adalah cita-cita besar UMNO/BN agar Pakatan Rakyat tidak mendapat sebarang kerusi dalam parlimen Sabah. Tetapi, UMNO/BN telah lupa bahawa pergolakan yang berlaku dikalangan mereka sendiri kini telah mengancam kedudukan itu. Kelantangan UPKO, LDP, PBRS adalah mesej awal kepada para pengundi Kadazan/Dusun agar mereka menilai kembali sokongan terhadap UMNO/BN yang banyak mengancam kepentingan penduduk dan kedudukkan pribumi di Sabah.

Insiden yang berlaku terhadap pimpinan UMNO/BN Sabah mutakhir ini lebih menguntungkan PR. Pemimpin-pemimpin gabungan BN Sabah sendiri sudah muak dengan karenah UMNO yang dianggap sebagai parti yang menjajah, tidak seperti yang diharapkan ketika mana datang mula bertapaknya UMNO ke Sabah pada tahun 1991. Misi asal UMNO ke negeri ini adalah membantu orang Sabah yang dikatakan tertindas oleh kerajaan PBS. Apa yang berlaku adalah sebaliknya, para pemimpin UMNO/BN telah mengambil kesempatan terhadap kekayaan Sabah. Ada wakil rakyat UMNO Sabah yang baru bertanding, tidak sampai enam bulan sudah memiliki kereta mewah serta rumah banglo. Paling mendukacitakan ialah, bila mana para pemimpin tempatan tidak boleh lagi memberi keputusan dalam pentadbiran di Sabah sepenuhnya.

Masyarakat Kadazan/Dusun serta kaum serumpun tidak lagi menaruh harapan terhadap UMNO/BN di Sabah. Golongan berpendidikan (profesional) dalam masyarakat ini juga telah hilang keyakinan terhadap UMNO untuk menyandarkan harapan mereka. PBS bukan lagi satu indikator yang berupaya untuk berhadapan dengan UMNO. UMNO tiada lagi ketelusan untuk bangsa mereka, maka itu Tan Sri Bernard serta beberapa pemimpin KDCA amat tidak selesa dengan gelagat UMNO. Isu wang 300 juta ringgit di Hong Kong hilang begitu saja tanpa tindakan dan keputusan, dulu Datuk Pairin diambil tindakan rasuah kerana salahguna kuasa di Tambunan atas kes pemberian tender kepada keluarganya. Kenapa pula RM300 juta tiada apa-apa tindakan, kalau pemimpin KDCA senang saja disabitkan, seperti Datuk Kasitah Gadam.

Ertinya, Sabah bukan jaminan sebagai fixed deposit kepada UMNO/BN lagi.. Silap langkah akan tersungkur menyembah bumi dan terkubur tanpa nesan di Kepulauan Borneo..

No comments:

Post a Comment