Wednesday 23 November 2011

Nazri Aziz : Bidas Mahathir Mudah Lupa.

Tun Mahathir tak ubah seperti ayam berkokok diluar gelanggang. Sedang lawannya berada di dalam dan luar gelanggang. Terbaru, Nazri isytihar perang terhadap Dr Mahathir dan membidas negarawan itu bersikap mudah lupa : Oleh Wan Hazmir Bakar dan Sazarina Shahrim
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (gambar), semalam mempersoalkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup merendahkan kedudukannya sebagai bekas Presiden Umno untuk bersekongkol dengan pembangkang yang pernah menggelarnya Firaun.

Sehubungan itu, beliau mengisytiharkan perang terbukanya dengan Dr Mahathir dan menyarankan bekas Perdana Menteri itu menyertai pembangkang jika ingin terus mengkritik kerajaan.

“Pembangkang tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kami. Beliau (Dr Mahathir) yang menimbulkan masalah. Pembangkang kini lemah, tetapi beliau pula yang membangkang.

“Sekarang duduk dalam parti pun macam pembangkang, lebih baik jadi jantan, keluar dan bangkang kita terus dan senang saya nak hentam. Sekarang kalau nak lawan dia, saya teragak-agak kerana dia bekas presiden kita (Umno),” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.

Sidang media itu diadakan bagi menjawab kritikan terbaru Dr Mahathir terhadap kerajaan pada majlis dialog anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan Rakan Media Alternatif di Kelab Century Paradise, Taman Melawati, Sabtu lalu.

Hadir sama pada majlis itu ialah empat pemimpin kanan Pas – Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa; Naib Presiden, Datuk Husam Musa; Ketua Pemuda, Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa Pusat Mahfuz Omar.

Turut hadir ialah Bendahari Parti Keadilan, Rahman Osman, Ketua Penerangan DAP, Ronnie Liu, bekas menteri pusat dan bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tengku Tan Sri Mahaleel Ariff.

Nazri berkata, beliau hairan Kenapa Dr Mahathir sanggup berkongsi platform dengan orang sama yang pernah menyerang dan menggelarnya Firaun serta mahu menghancurkan Umno.

“Malah, Dr Mahathir memperlekehkan Islam Hadhari di depan pemimpin Pas. Menyerang Islam Hadhari adalah taktik murahan untuk menarik sokongan Pas,” katanya.

Beliau berkata, Umno bagaimanapun tidak terlintas untuk membuang bekas presidennya dan percaya desas-desus itu dimulakan Dr Mahathir sendiri selepas menyedari tindakannya menghentam kerajaan sebagai kesalahan besar.

“Saya fikir beliau sedar apa yang dilakukannya adalah dosa besar dan dia tunggu masa untuk dibuang. Kita dalam Umno tidak langsung terfikir nak buang dia, agaknya dia makan cili, dia rasa pedas. Kalau nak keluar pun tak halang,” katanya.

Nazri berkata, beliau kecewa kerana Dr Mahathir melanggar segala janji dengan kerajaan sekarang dan nasihat yang pernah diberikannya kepada pemimpin Umno lain sebelum melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya tidak faham, dulu bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno kita menangis cakap Melayu mudah lupa. Sekarang siapa lupa? Melayu lupa atau dia lupa? Dia yang nasihat dulu sayanglah parti, jangan sokong dia secara peribadi tetapi sokong sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

“Dulu dia kata ikut Presiden, sekarang dia marah Datuk Seri Najib Razak sebab ikut apa saja yang Presiden cakap. Dulu apabila Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Musa (Tun Musa Hitam) lawan dia, dia buang, dia marah. Sekarang bila Datuk Seri Najib sokong Pak Lah dia marah.

“Nampaknya dia dulu tak ikhlas. Saya fikir air mata yang keluar dulu palsu saja,” katanya merujuk peristiwa Dr Mahathir menangis ketika mengumumkan hasratnya untuk meletak jawatan.

Nazri juga menjelaskan, Abdullah tidak akan menjawab persoalan yang dibangkitkan Dr Mahathir kerana menjaga adab ketimuran, lebih-lebih lagi perkara berkenaan sudah dijawab menteri atau pengurusan syarikat berkaitan.

Sebaliknya, katanya, beliau akan sentiasa menjawab segala kritikan bekas Perdana Menteri itu terhadap kerajaan supaya rakyat mengetahui perkara sebenar.

“Bukan Perdana Menteri yang kena jawab, menteri berkenaan kena jawab. Kalau Proton, pengurusan Protonlah jawab. Ini berbeza dengan Tun dulu, dia jawab semua. Dia ada kecenderungan diktator, sebab itu dia jawab semua tetapi Perdana Menteri amalkan sikap liberal dan beri kepercayaan kepada Menteri atau pentadbiran syarikat jawab,” katanya.

Beliau turut mempertahankan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang didakwa menjadi sasaran Dr Mahathir.

“Saya tidak boleh menerima hanya kerana beliau (Dr Mahathir) marahkan seorang yang muda, dia sanggup membakar seluruh parti. Tidak ada apa yang tidak kena dengan dia (Khairy).

“Orang berusia 81 tahun nak bergaduh dengan orang muda berusia 31 tahun, carilah lawan lain yang sesuai,” katanya sambil menyanggah dakwaan beliau dan menteri lain mengikut telunjuk Khairy.


Dipetik dari: Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment