There was an error in this gadget

Sunday, 30 October 2011

Siapa Pejuang ISA: Najib bukan pejuang, terpaksa ikut desakan rakyat.


Mutakhir ini, suara-suara sumbang mula kedengaran, konon Najib adalah pejuang mansuhkan ISA. Alasannya, akta itu tidak lagi relevan di kala ini. Tapi, ada juga yang kata ia masih relevan lagi, alahaiii.. Silap-silap nanti, tersalah lagi tulis sejarah. Lembu punya susu, sapi punya nama. Jika ikhlas, Alhamdulillah dan terima kasih banyak-banyaklah kepada Najib. Jika ada udang di sebalik mee goreng itu, Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui segala-galanya.. 

Pelbagai isu telah, sedang dan akan dikumandangkan dalam politik Negara. Justeru itu, masyarakat kini mempunyai garapan dan penguasaan yang maksimum terhadap sesuatu isu yang timbul. Kezaliman ISA, penyelewengan wang rakyat, kenyataan mempersenda Islam, kezaliman terhadap orang Melayu dan sebagainya adalah merupakan isu yang sudah dikuasai oleh rakyat.

Rakyat kini celik dengan berbagai maklumat. Pembacaan yang banyak, pelayaran laman alternative di internet, ceramah, diskusi dan sebagainya adalah momentum utama rakyat peka maklumat. Rakyat sekarang berhadapan dengan penguasa mutlak media massa Negara. Lantas itu rakyat berusaha sendiri untuk mendapatkan maklumat tepat dan menambah informasi, tanpa prejudis menjadi ‘pak angguk’ kepada berita-berita TV dan akhbar perdana Negara.

“Jika kerajaan tidak mahu dengar tuntutan rakyat, mereka akan terkubur bersama-sama ISA”. Ungkapan seorang aktivis hak asasi manusia, Irene  Xaxier yang menjadi mangsa ISA.

“Kebangkitan rakyat kali ini adalah titik bermulanya hari-hari akhir kerajaan” katanya lagi memetik satu artikel sepuluh tahun yang lalu dari media PURNAMA bertarikh 1 Mei 2001.

30 April 2001 adalah tarikh keramat pelancarkan ‘Gerakan Mansuhkan ISA’ yang dianggap sebagai alternative paling serius pernah dijalankan di Negara ini dalam usaha perjuangan menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Barisan Alternatif ketika itu dan sekarang ini dipanggil sebagai ‘Pakatan Rakyat’, bersama-sama pembabitan penyertaan 76 badan bukan kerajaan (NGO) telah menubuhkan 'Gerakan' tersebut. Ianya telah dilancarkan sendiri oleh Dato' Fadhil Noor selaku Pengerusi. Gerakan ini juga adalah salah satu manifestasi rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai agama, bangsa, latar belakang, usia dan pekerjaan.

Perjuangan menentang akta ini bermula sejak mula dikuatkuasakan lagi pada tahun 1960. Akta penggubalan penjajah Inggeris itu disifatkan ramai sebagai akta zalim yang mencabuli hak asasi manusia.

Namun penentangan itu tersekat-sekat dan ‘berjaya’ dibendung kemaraannya oleh pihak berkuasa. Pun begitu ia tidak pernah mati. Desakan demi desakan, akhirnya kerajaan di bawah pentadbiran Najib Razak telah berjanji akan memansuhkan akta ini. 16 Sept 2011 yang lalu sempena sambutan Hari Malaysia, DS Najib Razak telah mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 akan dimansuhkan terus.

Jika dimansuhkan terus, adakah tahanan ISA sekarang ini telah dibebaskan?, itu persoalannya. Untuk mencegah keganasan dan jenayah, dua undang-undang akan digubal untuk mengantikan akta ISA. Satu lagi tanda tanya yang timbul di dalam benak pemikiran rakyat, apakah bentuk dua undang-undang yang akan digubal nanti?.

Namun janji yang dibuat masih tidak boleh dipegang. Kerbau boleh dipegang dengan talinya, manusia dipengang dengan janjinya. Kerbau boleh ditambat di mana-mana, manusia memang payah dipegang selagi janji itu tidak tertunai. Jika janji dipegang, maka amanahlah ia dengan janjinya. Jika tidak berpegang dengan janjinya, maka ia tergolong dari golongan munafik.

Isu Dato' Seri Anuar Ibrahim, banyak mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat menuntut keadilan dan memerangi segala bentuk penyalahgunaan kuasa, termasuklah penentangan terhadap ISA. Gelombang kebangkitan rakyat tercetus dengan penahanan golongan yang ada hubung kait dengan mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Turut diadakan kempen menyedarkan rakyat tentang kezaliman akta ini juga menerusi media dan internet. Dalam ucapan pelancaran, Dato' Fadhil Noor ‘meminta’ isteri Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri supaya ‘membayangkan’ bagaimana jika mereka dipisahkan secara paksa dengan suami masing-masing.

Dato Fadhil Noor pernah menasihati pemimpin-pemimpin kerajaan ketika itu agar membuka mata dan telinga kepada desakan dan tuntutan rakyat sambil melaungkan “INI ADALAH SUARA RAKYAT”. Inilah nada laungan seorang pejuang. 


Seluruh rakyat Malaysia kenal akan Al-Marhum Ustaz Dato' Fadhil Noor. Jenazah dipayungi awan tebal yang sejuk dalam keadaan dunia tenang dan nyaman, menurut seorang pilot yang membawa jenazah pejuang ini. Di sepanjang penerbangan tersebut awan memayungi pesawat, sedangkan tempat lain dalam keadaan panas terik. Kejadian ini juga disaksikan oleh krew pernerbangan tersebut. Melihat kepada kejadian aneh itu, pilot tersebut mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam. Inilah hikmahnya.. Subhanallah..

Bila berjuang dengan keihklasan, balasan akan Allah tunjukkan dengan jelas kepada kita. Ia adalah sebagai pemangkin semangat kita untuk terus memperjuangkan agama Allah. Kehebatan dan keikhlasan Al-Marhum berdakwah dan berjuang demi agama di dunia lagi Allah telah tunjukkan kebenarannya. Al-Fatihah buat pejuang pembela rakyat ini, Tuan Guru Dato' Fadhil Noor.

No comments:

Post a Comment