Friday 14 October 2011

Artis Popular Mewarnai Politik Malaysia.


Mutakhir ini, politik Malaysia sekarang lebih mengarah kepada populariti dan semakin hari semakin kian unik. Menjelangnya PRU13, bermacam-macam gaya tingkah laku badan-badan politik dan NGO di Negara ini.

Mengingatkan SR filem berdasarkan kisah benar, The Exorcism of Emily Rose arahan Scott Derrickson pada 2005 lakonan Jennifer Carpenter sebagai gadis, Emily Rose. Dia menjadi mangsa gangguan makhluk halus dan meracau dengan suara keras yang aneh akibat dirasuk hingga terpaksa diberi pelbagai bantuan moden namun masih gagal diubati.

Suasana politik di Negara kini bak diserang hysteria, dengan penjelmahan makhluk berbagai bentuk dan gaya rupa. Bila histeria menyerang, mangsanya akan terpandang satu persatu penjelmahan makhluk yang berbadan besar, tinggi lampai, berwajah tampan dan hodoh serta bengis mendekati mereka. Makhluk itu menjerit-jerit serta membisikkan sesuatu di telinga kiri.

Selepas itu mangsa mula diserang histeria dan meracau. Dalam keadaan tanpa sedar akibat histeria, mereka mendakwa terlihat ratusan makhluk aneh berwarna gelap. Pengamal perubatan tradisional, menyifatkan angkara yang mengakibatkan histeria tanpa mengira masa itu adalah disebabkan oleh gangguan jin dan bunian. Namun, bagi penjelasan saintifik mengenai histeria dikatakan berpunca daripada simptom fizikal seperti paralisis yang berpunca daripada kecelaruan fikiran (halusinasi).

Berbalik kepada tajuk dan mukadimah di atas, artis-artis popular tanah air kini mula mengorak langkah menceburkan diri dalam bidang politik sebagai bidan terjun baru. Sebelum ini banyak dipaparkan dan dibicarakan sebagai penghias dada-dada media massa mengenai kemunculan konon ustaz-ustaz baru yang lahir pada mulanya sebagai artis seperti Ustaz Akil Hayy, Azmil Mustapha dan terkini Bob Lokman yang banyak menghentam dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional terutamanya dasar parti Giant Killer, UMNO. Artis-artis ini banyak dikaitkan dengan parti dan dasar perjuangan PAS, disebabkan mereka terlalu banyak berbicara tentang agama.

Pada satu pihak lain pula, iaitu UMNO/BN. Penyertaan artis dan pengarah filem terkenal Dato Jins Shamsuddin yang dilantik sebagai senator. Dato AC Mizal bersama isterinya menghantar borang permohonan keahlian UMNO. Sebulan lebih selepas itu pula Jamal Abdillah juga telah turut serta menjadi ahli UMNO.


Terbaru, artis terkenal dengan keupayaan vokal yang 'power' iaitu Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie bersama beberapa artis terkemuka lain menyerahkan borang keahlian kepada Pemuda UMNO. Turut bersama Zed Zaidi dan Adam AF.

Menurut mereka, "Bob Lokman sudah melampaui batas dengan menghina kami dalam semua tazkirah yang disampaikannya kepada penyokong PAS, membuatkan masyarakat memandang sinis terhadap kami", kata Awie.

Bagi Pakatan Rakyat, semua itu dilihat hanya sebagai penyedap rasa politik UMNO/BN untuk menarik minat anak-anak muda menyertai program-program anjuran mereka. Anak-anak muda akan dihidangan dengan berbagai bentuk hiburan dan gaya hidup bebas.

Untuk merungkai fenomena ini, dalam usaha memupuk semangat cintakan agama dan negara serta menghayati pengertiannya dikalangan anak-anak muda khususnya remaja, mereka perlu diberi pendekatan bahawa merdeka bukan sekadar bererti bebas daripada penjajah sehingga boleh melakukan apa sahaja yang melampaui tatasusila, budaya, keagamaan dan perundangan.

Berdekad lamanya, rakyat Malaysia telah berusaha memerdekakan tanah air daripada penjajah. Walaupun negara kita telah mencapai kemerdekaan, malangnya hari demi hari, jiwa dan pemikiran kebanyakan daripada rakyat Malaysia masih dijajah. Ini termasuklah kebanyakan anak-anak muda yang lahir selepas tarikh bersejarah tersebut.

Ramai dalam kalangan kita terikut-ikut dengan budaya hidup bekas penjajah. Dan ramai yang tidak sedar bahawa penjajah sentiasa berusaha untuk menakluk jiwa masyarakat kita. Ramai masyarakat hari ini yang hidup tidak berlandaskan ajaran Islam dan lebih memuja budaya barat, mereka banyak terlibat dalam aktiviti yang merosakkan diri, bangsa, agama dan boleh memundurkan Negara. Tidak semua daripada remaja hari ini mencapai kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar.

Pengaruh media-media massa berperanan penting dalam membentuk akhlak, begitu juga sebaliknya. Anak-anak muda yang 'jauh' daripada ibu bapa akan berusaha untuk mencari 'ubat kesepian' dan ubat paling mudah ialah media, sama ada elektronik atau media cetak serta penganjuran himpunan konsert-konsert secara langsung. Bila ilmu tiada dan jiwa pula kosong, anak-anak muda lebih mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang menghiburkan dan dalam masa yang sama tidak memberikan manfaat kepada kehidupan mereka.

Kerajaan yang ada kini perlu lebih tegas dalam memantau setiap aktiviti masyarakat termasuklah program hiburan. Tidak salah berhibur, tetapi janganlah sampai terikut-ikut cara hiburan ala barat yang rata-ratanya merosakkan akhlak. Apakah dengan penyertaan artis-artis popular dalam politik UMNO itu, mereka boleh merubah keadaan bentuk cara hidup remaja yang semakin hari kian hanyut dik arus gelombang permodenan ala barat (gejala sosial)?. Apakah resepi-resepi yang mereka akan bawa nanti bagi mengubah gaya hidup remaja ini untuk balik kepada budaya asal iaitu ketimuran ala-ala Islam?.

Seharusnya program-program ilmu perlu lebih diperhebatkan, bukannya berebut mencari idola yang tidak menguntungkan negara dan agama. Menjadi tanggungjawab setiap masyarakat untuk menyedarkan setiap penghuninya yang lalai. Kaedah paling berkesan ialah kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

Ini dapat dilihat apabila ramai masyarakat hari ini yang hanya Islam pada nama, sebaliknya amalan dan cara hidup langsung tidak berlandaskan ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment