Sunday 23 October 2011

AMANAH dan KHIANAT: MAHMUDAH vs MAZMUMAH



AMANAH

Amanah yang tersemi kukuh dalam diri akan membuahkan akhlak yang terpuji. Orang yang ada dalam hatinya sifat Mahmudah ini tidak memerlukan banyak kawalan dalam melaksanakan sebarang tugasan kerana individu itu sendiri mampu mengawal dirinya.

Amanah ialah sesuatu tanggungjawab yang diserahkan untuk dipelihara dan dijaga sama ada berupa harta benda, kehormatan diri, hak manusia dan paling utama sekali memelihara agamanya yakni Islam.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)” – (Surah al-Nisa’ 4:58). Kriteria inilah yang menyebabkan Rasulullah digelar “al-Amin” oleh kaum Quraisy.

Amanah pernah ditawarkan kepada langit, bumi dan gunung-ganang, namun semua menolaknya kerana bimbang tidak dapat memikulnya. Namun ketika itu manusia menerimanya berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya” – (Surah al-Ahzab 33:72).

Dalam riwayat al-Tabrani menyatakan bahawa, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak tidak diterima sembahyang orang yang tidak bersuci dan tidak sempurna agama, orang yang tidak diterima sembahyangnya”.

Bagaimana menjadi orang yang beramanah?.

Untuk menjadi seorang yang amanah, pastikan diri menyempurnakan semua skop amanah seperti berikut:
  • Berpegang teguh dan bersungguh-sungguh melaksanakan syariat Islam.
  • Menjaga anggota badan daripada melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.
  • Menjaga hak orang lain sebaiknya dan memulangkan kembali kepada tuan empunya apabila dihajati.
  • Tekun dalam sebarang pekerjaan.
  • Teguh dalam menjaga rahsia insan lain.
Jika merasa diri tidak mampu menunaikan amanah, beritahu awal-awal. Jangan mengatakan ‘YA’ kepada sesuatu yang anda sendiri tahu tidak mampu dan dapat melaksanakannya.

KHIANAT

Khianat adalah salah satu sifat daripada Mazmumah yang boleh menyebabkan darjat seseorang insan itu turun kepada munafik. Khianat bermaksud segala perbuatan jahat yang bertujuan manganiayai atau mendatangkan kecelakaan kepada orang lain, menipu, membelot atau tidak memegang amanah (setia).

Daripada Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara iaitu, bila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia engkari dan bila diberi amanah dia khianati” – (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ahmad Ibn Hanbal).

Huzaifah bin Yaman juga ada meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. memberikan satu kiasan tentang sifat khianat pada akhir zaman. Baginda mengambil beberapa biji batu yang kecil, kemudian memijaknya. Baginda kemudian bersabda yang bermaksud: “Akan tiba suatu masa, manusia akan berjual beli. Namun pada masa itu, tiada seorang pun yang bersifat amanah. Sehingga disebut, ‘Terdapat seorang daripada ahli si fulan itu seorang yang amanah’. Orang ramai memujinya, ‘Wah, orang itu rajin dan bijak’. Sedangkan dalam hati orang itu langsung tidak ada iman walau sebesar biji sawi sekalipun”. – (Muttafaq ‘alaih). 

Siapa Pengkhianat?
  • Syaitan.
  • Munafik.
  • Orang yang terlibat dengan rasuah.
  • Orang yang mengambil hak orang lain dengan cara yang batil.
  • Orang yang tidak memulangkan hak individu lain.
  • Orang yang tidak amanah dalam menyempurnakan tanggungjawabnya.
  • Orang yang sentiasa bertangguh dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
  • Orang yang berjanji dia engkari dan bila diberi amanah dia khianati, serta berbohong dengan bangsa dan agamanya sendiri untuk mendapatkan sesuatu keuntungan diri, keluarga dan kroni.
Fikirkan akibat buruk sifat khianat kepada diri, keluarga, kerjaya, dan institusi yang diterokai. Sanggupkah anda menerima kesannya dalam masa jangka panjang dikatakan sebagai pengkhianat?. Iaitu anda disenaraihitamkan sebagai orang yang tidak boleh dipercayai.

Harimau mati meninggalkan belang, Manusia mati meninggalkan nama. Beza manusia dengan binatang adalah akal. Maka itu, fikirlah seluas-luasnya dan sedalam-dalamnya..

No comments:

Post a Comment