Friday 7 October 2011

Sepintas Lalu: Catatan Memori Seorang Pejuang Di Arena Politik- Dr Haji Datu' Bandira Datu Alang

Saya Ready - SIRI 1
Terlebih dahulu penulis panjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat mencatatkan sedikit liku-liku perjalanan kehidupan seorang pejuang Iranun dalam bidang politik yang  banyak meninggalkan sejarah perjuangan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. 

Beliau adalah seorang yang tegas dan berpendirian teguh dalam perjuangan, malah  beliau amat prihatin dengan agama dan bangsanya. Juga, beliau amat mengambil berat tentang pendidikan anak bangsanya. 

Lebih kurang sebulan sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir menghadap Ilahi, penulis sempat mencatatkan sedikit latar belakang liku-liku kehidupan perjalanan politik beliau sewaktu bersembang  dengannya di Anjung Senja Teluk Likas, Kota Kinabalu. Beliau ketika itu menghadap arah matahari terbenam di Teluk Likas yang mana hari hampir senja, mentari semakin menghilangkan diri dibalik Pulau Gaya.
Dr HAJI DATU' BANDIRA HAJI DATU' ALANG adalah bekas ahli UMNO. Antara jawatan tertinggi yang pernah beliau jawat ialah Ketua Penerangan Bahagian di Tawau semasa bertugas di FELDA, Umas-Umas. Sebelum itu, AJK Pemuda Bahagian. Latar belakang pendidikan beliau dari sekolah rendah hinggalah mendapat ijazah MA dan PHD daripada al-Manaf International di Louisiana State University. Beliau juga pernah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan daripada Sto Nino Collegio, salah sebuah kolej tertua di Filipina (sekular). Penulis pernah bertanya kepada beliau “Bagaimana Datu’ terjebak dalam politik PAS sekarang ini, sedangkan Datu’ lahir dalam pendidikan sekular?”.
Beliau tersenyum sambil menjelaskan “Saya tidak pernah menyertai mana-mana gerakan Islam seperti ABIM atau JIM. Saya hanya mempunyai hubungan yang baik dengan kawan-kawan yang terlibat dengan gerakan Al-Arqam (sebelum diharamkan) dan Tabligh. Namun saya tidak pernah mengikuti atau terlibat dengan gerakan mereka. Walau bagaimanapun, disudut hati saya amat berminat dengan gerakan Islam tetapi tidak ada satu pun gerakan Islam yang secocok dengan saya pada ketika itu kerana saya bukanlah dari jenis orang suka ikut-ikutan”. Maksud beliau ikut-ikutan itu ialah menjadi Pak Agguk dan Pak Turut.
Masa itu penulis sembang sambil berbicara masa depan politik Iranun dan hala tuju perjuangan Iranun. Dengan keterbukaan beliau bicara secara intelek, penulis sangat tertarik dengan gaya bahasa dan cara penampilan beliau. Walaupun ketika itu ada orang mengatakan bahawa beliau bengis dan panas baran, sebenarnya semua itu tidak benar sama sekali. Bagi pandangan dan pendapat penulis, beliau adalah orang yang tegas serta fokus terhadap sebarang isu yang berbangkit dan dikemukakan. Beliau mudah menerima pendapat dan pandangan semua golongan dengan tidak mengira tahap pendidikan serta kedudukkan seseorang itu. Penulis amat tertarik dengan sikap keterbukaannya, kerana beliau tidak pernah mengata orang walaupun beliau sedar orang itu tidak menyukai caranya.
Dr Haji Datu’ Bandira, dalam gerakan Islam serta kecintaan beliau terhadap Islam sudah lama tepahat dilubuk hatinya. Ketika beliau berada dalam UMNO, anak-anak dihantar belajar ke PASTI pada siang hari dan mengaji pada malam hari. Beliau mengikuti dengan mendalam program-program PASTI yang melibatkan ibubapa. “Saya masih ingat juga bahawa saya adalah antara yang hadir dalam perjumpaan dengan Tuan Haji Subky Latiff pada tahun 1986 disebuah rumah Taman Tawau Lama, Tawau. Ketika itu PAS mula bertapak di Sabah. Saya menghantar anak saya ke PASTI dan turut hadir dalam perjumpaan tersebut adalah kerana saya tertarik dan berminat dengan program-program dakwah yang dianjurkan oleh PAS.” Jelas beliau.
Ketika Dr Haji Datu’ Bandira berada di Filipina, beliau banyak berkenalan dengan beberapa orang pemimpin pejuang Islam di sana. “Kami banyak berbicara tentang perjuangan Islam. Saya juga banyak membaca buku-buku tentang Islam dan perjuangan. Justeru itu, saya terfikir patutlah sebahagian masyarakat Mindanao bermati-matian memperjuangkan Negara Islam. Pada fikiran saya, kalau orang Islam di Filipina yang hanya seramai 12 peratus daripada penduduknya bercita-cita untuk mendirikan Negara Islam, mengapa orang Islam di Malaysia tidak demikian?”. Tegas beliau dengan nada serius yang banyak menimbulkan persoalan kepada penulis.
Pergolakkan politik yang melanda tanah air pada tahun 1998 menyebabkan Dr Haji Datu’ Bandira berada dalam delema. Lebih-lebih lagi tindak-tanduk kerajaan Barisan Nasional yang dikepalai oleh UMNO ketika itu tiada ketentuan. Suasana politik Negara mula berubah, dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri atas tuduhan kes lewat oleh regim Tun Dr. Mahathir Mohammad selaku Perdana Menteri ketika itu.
“Parti KeADILan yang ditubuhkan pada tahun 1999 telah mengheret ramai rakan-rakan saya ke dalamnya. Saya juga diajak untuk menyertainya namun hasil sikap penelitian dan pengamatan, saya menolak pelawaan tersebut. Hinggalah suatu masa, saya telah diajak untuk menyertai PAS beberapa hari sebelum menjelangnya Pilihanraya Parlimen 1999. Saya tertarik dengan Islam yang di bawa oleh Parti ini dan menyebabkan saya langsung tidak menolaknya.” Katanya lagi. Beliau seterusnya dicalonkan untuk bertanding atas tiket PAS di Parlimen Kota Belud 1999 menentang calon UMNO (Barisan Nasional) iaitu speaker DUN Sabah ketika ini, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said.
“Walau bagaimanapun, penyertaan saya dalam PAS ketika itu bukanlah semata-mata untuk menjadi calon. Ketiadaan tokoh-tokoh Sabahan dalam PAS adalah antara lain sebab saya menyertai PAS, malahan PAS saya lihat sebuah parti yg konsisten dalam perjuangan menegakkan Islam. Meletakkan Islam itu sebagai cara hidup. Melihat keadaan di Sabah ketika itu majoriti ahli-ahlinya dari Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia), maka terdetik dalam hati saya bahawa penyertaan saya akan membawa erti yang besar terutamanya dalam diri saya yang amat cintakan gerakkan Islam.” Tambah beliau lagi, sambil melontarkan pandangan jauh menatap aras laut  Teluk Likas di Anjung Senja, Kota Kinabalu. Beliau mencapai secangkir minuman lalu menghirupnya. Milo kosong adalah minuman kegemaran beliau.
Dalam perlantikkan Dr Haji Datu’ Bandira sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah, beliau tidak pernah mengimpikan atau mengidamkan jawatan itu. Apatah lagi memintanya untuk diberikan jawatan tersebut, sebab di lubuk hatinya Islam itu lebih penting dan utama baginya untuk ditegakkan di bumi Sabah ini. Peranan biro-biro dakwah di Sabah ketika itu, beliau lihat lemah dan tidak berperanan sehinggakan orang-orang yang di Islamkan di era zaman Tun Mustapha Datu Harun (USNO) di bawah kendalian USIA sudah tidak berfungsi lagi. Banyak dikalangan orang-orang tersebut telah kembali ke agama mereka masing-masing atas sebab tiada pemantauan dan perihatian khusus terhadap mereka.
Semasa Dr Haji Datu’ Bandira dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah, beliau pernah bertanya kepada Tuan Haji Subky Latif, “Kenapa saya dilantik? Tidak salah orangkah Jawatankuasa Harian PAS Pusat? Saya tidak layak menjadi PJ kerana saya baru sahaja menjadi ahli PAS. Saya juga bukan daripada lulusan sekolah agama.” Katanya kepada Tuan Haji Subky.  Munkin pihak pimpinan PAS Pusat melihat kepimpinan dan kewibawaan beliau dengan semangat serta ketokohan yang ada padanya sebagai seorang pemimpin yang berjuang demi agama Allah, maka itu ia di lantik untuk memimpin PAS Sabah.
“Saya sedar akan diri saya, kalau di Semenanjung itu Ketua Cawangan pun saya tidak layak”. Gurau beliau dengan nada rendah diri, diringi tawa dan senyuman.
Dr Haji Datu’ Bandira setelah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah, beliau menjalankan tugas dengan baik dan teliti. Antara agenda utamanya ialah memperbanyakkan penyertaan Sabahan dalam mana-mana jawatankuasa atau program parti. Tujuannya hanya ingin melihat orang-orang Islam di Sabah banyak mengikuti atau menyertai dakwah yang mana PAS adalah satu-satunya yang beliau lihat lebih baik dari biro-biro dakwah lain. Dr Haji Datu’ Bandira melihat PAS itu bukan sahaja sebuah badan parti politik, beliau menganggapnya PAS adalah wadah dakwah mendaulatkan Islam yakni Kalimah Allah SWT.
8 Ogos 2004 adalah detik peristiwa menyayat hati berlaku terhadap Dr Datu’ Bandira Datu Haji Alang setelah mendapat kemalangan jalanraya antara Lahad Datu-Tawau semasa balik dari mesyuarat PAS Sabah di Lahad Datu ketika itu. Saat itulah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir menghadap Ilahi. Takziah kepada keluarga Dr Datu’ Bandira Haji Datu Alang, ku hadiahkan Al-Fatihah semoga Allah SWT mencucuri rahmat Roh Allahyarham. Beliau adalah seorang pejuang dikenang sepanjang zaman yang lahir dari masyakat Iranun. Namanya begitu harum dalam gerakan Islam di Malaysia, khususnya di Sabah.
Kata-kata terakhir yang diungkap kepada penulis sehingga kini menjadi ingatan “Biar aku mati dalam wadah yang memperjuangkan Kalimah Allah, hidupku dan matiku adalah kerana Allah”..
Wassalam..

2 comments:

  1. al-fatihah...perjuangan tetap diteruskan, yang hilang akan berganti...beliau telah selesai melaksanakan tugasnya, namun kita yang tinggal ini bagaimana pula?...sanggupkah kita menhadap Ilahi dengan membelakangkan perintahnya serta memperlekehkan al-Quran dan as-Sunnah...

    ReplyDelete
  2. al-fatihah...barang siapa mengenali allahyarham lebih dekat nescaya akan memahami wibawa dan hasrat murni allahyarham. Pengorbanan allahyarham amat disanjung. Semangat juang menegakkan syiar Islam yang dititipkannya hendaklah disemarakkan.

    ReplyDelete