Saturday, 3 December 2011

Gejala Sosial Tanggungjawab Semua Pihak, Ketepikan Fahaman Politik : Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia.


KOTA BELUD, SABAH : Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia mengakui bahawa permasalahan sosial yang melanda Negara mutakhir ini adalah tanggungjawab semua pihak yang mesti ditangani bersama dan perlu diberi perhatian tanpa melihat ideologi (fahaman) dan budaya masing-masing.

“Amalan dan budaya bekerjasama atau semangat gotong royong mutakhir ini makin terhakis dalam kalangan masyakat kita”. Antara petikan ucapan Tan Sri Pandikar sewaktu merasmikan program Bengkel Kemahiran Sosial Negeri Sabah pagi tadi di Dewan Serbaguna Rasa Sayang, Kota Belud, anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Saya datang ke program ini sebagai perasmi adalah kerana sosial, bukannya tuntutan politik. Kerana saya melihat generasi muda sekarang ini berbeza dengan generasi muda dahulu, mereka mudah terpengaruh dengan budaya ikut-ikutan. Oleh itu, penyerapan nilai tidak sihat contohnya budaya  merokok dalam kalangan muda mudi amat-amat membimbangkan sekali. Mula-mula merokok, akhirnya mereka beralih kepada syabu dan seterusnya menular kepada gejala lain”, katanya lagi.

“Budaya dulu-dulu lain, contohnya peribahasa Iranun suku kaum saya, ‘biar miskin harta, asal kaya anak’, anak adalah pewaris kepada mereka” ujarnya dengan nada lawak. Menurut beliau, betapa pentingnya anak di zaman dulu sebagai pewaris masa depan sebagai pengganti generasi mereka. Dengan kesibukan dan faktor masa mengurus rumahtangga adalah salah satu punca anak-anak mencari alternatif lain dan akhirnya terjebak dengan gejala social yang tidak sihat.

Yang Berbahagia Prof. Madya Dr Mohammed Fadzil Che Din, selaku Pengarah Institut Sosial Malaysia yang turut hadir sama membentangkan kertas kerja “Dunia Makin Sempit, Manusia Makin Perit”, katanya: “Media massa telah melaporkan baru-baru ini, Sabah adalah indeks yang paling tinggi di Malaysia melahirkan anak luar nikah. Berhati-hati dengan manusia sekarang ini kerana, manusia semakin pandai, maka menipu pun makin pandai”.

Menurut Prof. Madya Dr. Mohammad Fadzil dalam psikologi manusia, ada beberapa faktor punca kenapa  manusia bermasalah. Pertama: Pemikiran yang tidak rasional, sikap sering menyalahkan orang lain. Kedua: Fikiran yang tercemar, menerima maklumat tanpa membuat penyelidikan. Ketiga: Pemikiran yang menyeleweng, membuat tindakan dengan pemikiran sendiri. Keempat: Perasaan hasad dengki, terpengaruh dengan pesekitaran dan bila wujud jurang perbezaaan maka lahirlah perasaan hasad dengki. Dan terakhir: Tingkah laku, belajar dari yang salah seperti, manusia yang tidak kreatif dan sering angguk-angguk sahaja kerana tidak mahu belajar dari yang salah kepada yang betul. 

Turut sama hadir ialah Presiden, Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Datu Matlan Datu Unjong selaku salah seorang panel forum, bertajuk “Orang Tolong Orang: Jaringan Manusia", juga berpendapat bahawa gejala sosial berlaku atas masalah sikap tidak ambil peduli, sering menyalahkan orang lain, hilangnya ruh mahabbah sesama insaniah di samping kehidupan yang tiada ghairah persaudaraan.

Datu Matlan berpendapat, sebagai pemimpin NGO, adalah menjadi tanggungjawab memberi komitmen yang tinggi serta mempunyai kesungguhan untuk menangani kebejatan sosial yang melanda golongan muda mudi kita mutakhir ini. Sebagai anggota masyarakat, kita perlu kembali kepada masyarakat kerana itu adalah tanggungjawab kita, katanya. Sehubungan dengan itu, kepentingan dalam berpersatuan hendaklah dibudayakan dalam kalangan masyarakat, khususnya, golongan remaja. Beliau juga menegaskan, oleh kerana persefahaman yang utuh dalam kalangan ahli-ahli PAGISA, maka persatuan ini dapat memainkan peranan sebagai wadah pemersatu ke arah badan yang bersemangat caring society.

Sesungguhnya, bengkel yang turut dihadiri oleh pelbagai NGO di sekitar Kota Belud dan para mahasiswa UMS dan UiTM dapat memberi manfaat kepada semua peserta. Setidak-tidaknya, ISM telah membawa dimensi baru kepada pertubuhan-pertubuhan sukarela di daerah ini. Keterlibatan yang lebih menyeluruh dalam kalangan pertubuhan sukarela di daerah ini amat diharapkan agar aspirasi melahirkan masyarakat yang penyayang menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment