Sang kera melompat dari satu dahan pokok ke satu dahan pokok yang lain. Mencari sesuap makanan untuk diri dan keluarganya. Ekor digoyang sesekali diikat pada ranting bagi keseimbangan badan supaya tidak jatuh dihempap dahan rapu yang patah. Aksi kehebatan lompatan itu sesekali jatuh juga si sang kera ini menjunam ke bawah, hingga kepala pusing macam gasing kepeningan.
Sang kera melompat terus melompat. Akhirnya terjumpa sepohon jambu merah berbuah lebat di tebing sungai. Malangnya jambu merah itu di halangi lagi oleh sebatang sungai yang airnya mengalir deras. Maka Raja Kera pun berkata “Wahai kaum kerabatku semua, kamu tinggallah di sini dulu. Biar aku Raja kamu mengambil buah itu dan menyeberangi sungai ini. Bahaya bagi kamu sebab airnya amat deras sekali. Kamu semua itu bukan pandai berenang. Beta tahu selok belok tempat ini. Kamu tidak rugi memilih beta sebagai Raja kamu.” Dengan angkuhnya Raja Kera itu bertitah.
Mendengar titah Raja Kera itu, pengikut pun patuh arahan dengan menanti seribu penantian mengharapkan raja mereka membawa balik buah jambu merah sebagai santapan. Pengikut-pengikut itu amat suka dan gembira, anak-anak pun keriangan kerana dihati mereka dapat merasakan jambu merah yang manis dan sedap. Konon Sang Raja Kera membawa jambu merah yang menjadi idaman untuk santapan bagi kesejahteraan kaum kerabat mereka.
Sesampai diseberang, Raja Kera pun tidak menunggu masa yang lama, terus memanjat dahan-dahan jambu merah yang begitu lebat buahnya. Pengikutnya kehairanan, setiap yang dipetik terus ditelan oleh raja mereka. Mereka menanti terus menanti begitu lama, apa yang dilihat tiada sebiji buah pun tersimpan dibakul raja itu sebagai bekal untuk di bawa balik pada kaum kerabatnya. Setiap yang dipetik terus ditelan.
Kaum kerabat Raja Kera itu pun bosan menanti dan tidak sanggup melihat lagi telatah Raja Kera, mereka telah menyedari permainan tipu helah raja itu. Akhirnya mereka meninggalkan Raja Kera bersendirian, kerana terlalu sudah benci melihat sikap tamak dan pentingkan diri sendiri raja mereka. Rupanya Raja Kera itu ada tujuan tersembunyi kenapa ia tidak bawa pengiring, supaya pengikutnya tidak dapat merasakan seperti yang dia rasakan.
Dengan sikap tamak dan pentingkan diri, Raja Kera pun terus menelan satu persatu apa yang dipetiknya sehingga dia lalai dan leka bahawa tempat itu bukan kawasan jajahannya. Tetiba datang tanpa diduga oleh sang Raja Kera, sekumpulan kera lain yang kelaparan menyerangnya. Raja Kera pun tidak tentu arah melompat dari satu dahan ke satu dahan jambu itu sehingga letih dan tak bermaya lagi. Akhirnya ia jatuh ke dalam sungai dan terus dihanyutkan oleh arus deras ke muara.
Raja Kera yang tamak dan mementingkan diri itu pun akhirnya mati lemas. Pengikutnya atau kaum kerabat yang ditipunya dulu kini melantik Raja Kera baru bagi membina satu kekuatan yang lebih baik lagi berbanding dulu, untuk kesejahteraan kehidupan kaum kerabat mereka sendiri.
Berlagak pandai, tamak dan mementingkan diri akan memusnahkan diri sendiri. Kita tidak tahu, siapa dikalangan kita yang lebih pandai dari kita. Mungkin saja kita menyangka kita berjaya dengan sedikit kejayaan yang dikecapi, tetapi kita lupa bahawa ada orang yang lebih berjaya didunia ini yang sentiasa mencari pengetahuan baru dan berlagak tidak tahu apa-apa sedangkan mereka sedang belajar untuk lebih berjaya di dunia dan akhirat.
Ia bukanlah sesuatu yang hina untuk mengakui yang kita tidak tahu banyak perkara kerana kita akan mendapat lebih banyak ilmu baru. Tetapi, jika kita berlagak pandai, tamak dan mementingkan diri sendiri, kita tidak akan tahu yang sebenarnya masih banyak yang kita perlu pelajari. Mungkin saja, orang yang boleh memberi jawapan kepada kita pun tidak mahu membantu kita sekiranya kita terlalu berlagak tahu atau berlagak pandai dan mengaku Raja segala Raja kepada kelompok yang kecil.
Kadang menjadi relaliti hiruk pikuk pada kehidupan pemimpin-pemimpin dan masyakat di Bawah Bayu dan seangkatan dengannya, dan jangan pulak ada yang terasa.. Siapa terasa, makanya dialah Raja bersuka-suka.. hehehe..
No comments:
Post a Comment