Tuesday, 4 October 2011

Sabah: Harapan Baru Kepada Pakatan


Melihat terhadap perkembangan mutakhir ini, Sabah dilihat sebagai satu peluang baru kepada gabungan Pakatan Rakyat. Kenapa SR katakan demikian, kerana beberapa isu utama yang menjadi perhatian di Sabah mampu mengugat kestabilan UMNO / Barisan Nasional itu sendiri. Isu-isu yang berlaku di Sabah ini cuba disembunyikan oleh pimpinan BN sendiri, dan antaranya adalah isu PATI yang didaftarkan sebagai pengundi. Isu PATI sebagai pengundi telah membantu UMNO/BN Sabah menjatuhkan PBS pada tahun 1994. PATI merupakan isu keselamatan terhadap negara terutama sekali melibatkan kepentingan rakyat Malaysia di Sabah. PBS telah begitu lama bertarung dengan isu PATI, dan ketika ini isu PATI sebagai pengundi sudah banyak dibongkar oleh Pakatan Rakyat di Semenanjung Malaysia.

Isu perpaduan dalam BN Sabah juga mula goyah, rakan-rakan BN Sabah tidak begitu senang dengan pemerintahan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Musa Aman pada masa ini. Pelbagai isu dikaitkan dengan Ketua Menteri yang gagal dijelaskan kepada rakyat Sabah dan antaranya isu tangkapan wang tunai sejumlah lebih kurang RM300 juta yang belum ada kesudahan dan lenyap begitu sahaja. PBS dan UPKO tidak begitu senang dengan beberapa tindakan yang mengabaikan kepentingan bumiputera Sabah oleh UMNO/BN. Parti komponen ini melihat gelagat UMNO/BN di Sabah ini seperti meminggirkan mereka dalam beberapa keputuusan pentadbiran negeri. 

Selain itu, isu-isu jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat Persekutuan yang beroperasi di Sabah, seperti Jabatan Pelajaran Malaysia yang dikaitkan dengan pengurusan kewangan, peranan LKIM yang bertindih dengan Jabatan Perikanan Sabah, Felcra dengan pengambilan tanah, Felda Plantation, RISDA, KEMAS dan Jabatan Kebajikan Malaysia. Apabila dianalisis peranan jabatan-jabatan dan syarikat-syarikat ini, banyak mengambil balik peranan jabatan-jabatan kerajaan Negeri Sabah serta anak syarikat kerajaan Negeri. Ditambah lagi dengan penempatan para pegawainya dari Semenanjung khusus jawatan di bawah DG41. Sedangkan jawatan ini boleh diisi oleh para graduan dan belia lepasan SPM yang menganggur di Sabah. Isu ini melibatkan kepentingan rakyat Sabah terutama berkaitan pengisian jawatan dan pengambilan tanah sewenang-wenangnya.

Isu terbaru adalah penjualan pulau-pulau di Sabah, di mana perkara ini tidak dipertahankan oleh kerajaan Negeri dan antara pulau yang terlibat adalah pulau Mengalum dan pulau Montukod. Apa rasionalnya penjualan pulau-pulau ini?. Sedangkan pulau tersebut merupakan harta serta khazanah rakyat Sabah tetapi dijual dengan mudah sahaja.

Perpecahan dalaman  yang berlaku terhadap UMNO di Sabah yang melibatkan tiga kumpulan iaitu kumpulan Datuk Musa Aman, Datuk Salleh Tun Said dan Datuk Shafie Apdal. Sebelum ini Datuk Shafie Apdal dengan Datuk Salleh Tun Said berada dalam kumpulan yang sama dengan wadah utama mereka USBO. Namun, pada masa kini lain yang berlaku group Datuk Shafie Apdal dengan Datuk Salleh Tun Said sudah berpecah menjadi dua. Datuk Salleh Tun Said telah berbaik semula dengan Datuk Musa Aman, manakala Datuk Shafie Apdal terpaksa menghadapi dua musuh utamanya pada masa ini di Sabah. Tan Sri Pandikar Amin yang dulu terlalu rapat dengan Datuk Shafie Apdal sudah berubah dan mula mengorak langkah mengikuti jejak Datuk Salleh yang bersekongkol dengan Datuk Musa. USBO yang menjadi sandaran suku kaum pesisir pantai sudah retak dan menanti belah. Datuk Shafie tidak lagi yakin dengan USBO yang diharap menjadi gagasan besar suku kaum pesisir pantai.

Pengambilan tanah-tanah oleh syarikat-syarikat tertantu yang didalangi oleh para pemimpin UMNO/BN Sabah, seperti tanah Lok Padang di Kg. Rampayan Ulu. Isu ini telah diperdebatkan dalam laman FB dengan begitu luas, namun setakat ini tiada keputusan sama ada pemilikan Syarikat Kensa Mewah Sdn Bhd yang banyak dikaitkan dengan Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan itu dibatalkan atau diteruskan. Tanah seluas 1,200 ekar tersebut cuba diberi milik kepada  berkenaan, dan difahamkan syarikat itu tidak memiliki modal yang banyak untuk membangunkannya. Ada rakyat Sabah yang tidak memilki tanah, tetapi ada pula syarikat yang boleh memohon tanah beratus-ratus ekar begitu mudah mendapatkannya.

Banyak lagi isu yang berlaku di Sabah sebagai senjata atau modal utama Pakatan Rakyat, cuma menunggu masa sahaja untuk diwar-warkan kepada umum terutama apabila menjelangnya PRU13 nanti.

No comments:

Post a Comment