Saturday, 19 November 2011

ISA : SUHAKAM kecewa dengan tindakan KDN.


Pelbagai isu mutakhir ini berkumandang dalam suasana kehangatan politik Negara.  Justeru itu, masyarakat kini mempunyai garapan dan penguasaan yang maksimum terhadap sesuatu isu yang timbul. Kezaliman ISA, penyelewengan wang rakyat, ketirisan, kenyataan mempersenda Islam, dan sebagainya adalah merupakan isu yang sudah dikuasai oleh rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah berjanji akan memansuhkan akta ISA pada amanatnya 16 Sept 2011 yang lalu sempena sambutan Hari Malaysia. Najib telah mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 akan dimansuhkan terus.

Namun demikian, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meluahkan rasa amat kecewa dan terkejut dengan penangkapan terbaru 13 individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) atas tuduhan kegiatan gerakan militan di Sabah.

“Tindakan pihak berkuasa ini benar-benar mengejutkan dan sama sekali bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri yang berani dan bersejarah untuk memansuhkan ISA serta pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia serta perseimbangan antara hak tersebut dengan peraturan undang-undang dalam sistem demokrasi berparlimen negara – yang telah lama dinanti-nantikan dan amat dialu-alukan dengan sepenuh hati oleh rakyat,” kata Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataannya pada media.

Katanya lagi, “Selaras dengan seruan yang telah dibuat sebelum ini agar undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan, Suruhanjaya menggesa agar pihak berkuasa membebaskan kesemua mereka yang ditahan di bawah undang-undang tersebut dan memberikan hak mereka kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam”.

Suruhanjaya juga, ujarnya menyeru kerajaan supaya menghentikan penggubalan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan agar menangani isu berkaitan keganasan di bawah undang-undang lain yang sedia ada; dan sementara pemansuhan ISA dibuat, tiada sebarang penangkapan akan dijalankan di bawah akta itu.

No comments:

Post a Comment