Sunday, 20 November 2011

POLITIK 'DSSK' DAN 'TSPA' : Benarkah Dua Tokoh Ini Mengamalkan Dasar Pecah Dan Perintah Di Kota Belud?


Strategi ‘Devide and Rule’ atau ‘Pecah dan Perintah’ bukanlah sesuatu yang baru digunakan di zaman moden ini. Jika menyusuri sejarah, strategi ini bukan hanya bermula setelah Machiavelli membincangkannya dalam The Art of War, kemungkinan telah diaplikasikan sejak manusia mula bersengketa secara berkumpulan. Pemerintah Rom, Ceaser, dikatakan telah menggunakan strategi ini untuk menghadapi dan menguasai kaum Yahudi.

Di masa zaman Rasulullah s.a.w, strategi ini juga digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan keutuhan umat Islam. Satu peristiwa yang dinukilkan sendiri oleh al-Quran berkaitan perkara ini ialah tindakan kaum Yahudi melaga-lagakan kaum `Aus dan Khazraj. Hasutan kaum Yahudi ini telah hampir-hampir mencetuskan peperangan di kalangan kedua-dua kabilah itu sehinggalah Rasulullah s.a.w dengan pantas telah berjaya memadamkan api sintimen  yang disemarakkan. Rasulullah s.a.w sebagai seorang Rasul menerima wahyu dan sebagai seorang pemimpin yang bijaksana cepat-cepat mencium strategi pecah dan perintah pihak musuh ini, lalu persengketaan itu dapat diselesaikan.

Kaum Ansar dari kalangan kabilah `Aus dan Khazraj adalah tunjang kekukuhan negara Madinah pada ketika itu. Merekalah yang telah memberi kesanggupan yang tidak berbelah bahagi membela Rasulullah s.a.w dan menolong saudara mereka dari kalangan Muhajirin. Menyedari perkara tersebut kaum Yahudi dan golongan munafik melihat bahawa tidak ada strategi lain untuk melemahkan negara yang diperintah oleh Rasulullah s.a.w selain daripada melemahkan kaum Ansar.

Maaf terlebih dahulu SR ungkapkan pada seluruh masyarakat umat Islam daerah Kota Belud khususnya, Sabah amnya. Suatu ketika dulu, Bajau dan Iranun juga tak ubah seperti kaum ‘Aus dan Khazraj. Pertentangan antara ‘Aus dan Khazraj telah membawa kepada perang Bu’ath yang telah mengorbankan banyak jiwa. Kedua-dua kaum ini amat memerlukan seorang tokoh yang berwibawa untuk menyelesaikan masalah perselisihan di antara mereka. Perbalahan ini telah melemahkan kuasa politik dan ekonomi mereka sendiri di Madinah ketika itu.

Namun, pertelagahan tradisi antara sesama dua kaum ini dapat disatukan setelah wakil kedua belah pihak bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Makkah, baginda berjaya menyatukan dua kaum ini mejadi satu ummah. Penyatuan yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah berasaskan kepada keimanan, ketaqwaan dan persaudaraan tanpa melihat kepada keturunan, bangsa dan warna kulit. Rasulullah juga telah menjelaskan bahawa semua jenis persengketaan dan perselisihan adalah terhapus setelah mereka menganut Islam dan menjadikan Islam itu sebagai cara hidup. Tiada sesiapa pun sesudah itu boleh menuntut bela atau menuntut hutang.

Nah!!! Bila kita imbas kembali tentang sejarah suku kaum Bajau dan Iranun suatu ketika dahulu, bukankah juga seperti apa yang telah berlaku dengan kaum ‘Aus dan Khazraj?. Masing-masing ingin menegakkan identiti kaum tanpa mengira fahaman. Bajau dengan Bajaunya, begitu juga Iranun dengan Iranunnya. Kaum-kaum ini sebenarnya tidak menyedari bahawa, dasar pecah dan perintah peninggalan penjajah British meresap pada jiwa dan pemikiran mereka ketika itu.

Penjajah British sengaja memisahkan kaum-kaum di negara ini bagi mengelakkan dan menyekat sebarang usaha penyatuan yang membawa risiko penentangan terhadap penjajahan. Walaupun mereka telah pergi dan Negara ini merdeka, namun budaya dan ideology penjajah masih subur dan segar pada jiwa dan pemikiran bukan sahaja masyarakat Kota Belud ketika itu malah seluruh masyarakat di Malaysia. Strategi penjajah perlu mengekalkan penduduk peribumi di kampung-kampung serta mengekalkan aktiviti pertanian mereka ketika itu bagi memastikan bekalan makanan penduduk tidak terjejas. 

Jurang perbezaan ekonomi dan sosial kalangan kaum di Malaysia sering dikatakan akibat dasar pecah dan perintah atau ‘devide and rule’ oleh penjajah British. Keadaan ini memungkinkan supaya mereka mudah membawa masuk pekerja asing bagi mengelakkan penduduk pribumi meninggalkan aktiviti pertanian. 

Ekoran daripada itu, penduduk pribumi dibiarkan di kawasan pedalaman untuk mengerjakan sektor pertanian tradisional. Manakala kaum Cina ditempatkan di bandar dan perindustrian bagi menjalankan aktiviti perniagaan dan perlombongan. Kaum India ditempatkan di estet untuk mengerjakan ladang-ladang British. 

Oleh kerana penempatan dan kawasan tumpuan mereka adalah berbeza, maka tidak wujud interaksi antara tiga kaum utama ini. Melalui dasar ini British telah melahirkan perasaan prasangka dan memperkukuh keperibadian setiap kumpulan etnik yang terus menjarakkan jurang perpaduan antara kaum. 

Segelintir pengkritik politik di daerah Kota Belud musim ini, dasar inilah yang di bawa oleh dua orang tokoh politik yang berjaya menempatkan politik mereka dipersada Nasional iaitu Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said dan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia. Dua tokoh ini telah mendapat pendidikan secular dan masing-masing telah menamatkan pengajian di Universiti.  DSSK berbekalkan ilmu ‘Sains Politik’ manakala, TSPA telah menjadi ‘Peguam’.

Dengan kemunculan beberapa cendikiawan dan agamawan, akhirnya lanskap politik Kota Belud semakin berubah dan beransur pulih dari dasar ini tanpa bernaung pada kekuatan kuasa ekonomi dan kedudukan jawatan (pangkat) yang melangit. Golongan-golongan ini berhasrat besar untuk memulihkan keadaan berkenaan, namun ada sahaja halangan daripada golongan-golongan yang masih mengamalkan prinsip dasar pecah dan perintah peninggalan penjajah itu. 

Hakikatnya, harus kita sedari juga bahawa sekarang keadaan sudah berubah. Jurang perbezaan pendapatan dan tahap pendidikan antara semua kaum dan kawasan (bandar dan luar bandar) semakin meningkat. Namun, ada yang masih mengharapkan huluran belas kasihan (sumbangan) dari pihak-pihak tertentu yang dikatakan tidak menitikberatkan atau mengambilkira kedudukan kaumnya sendiri. Kaum lain seperti Cina contohnya, lebih menjadi keutamaan kepada mereka untuk diberi peluang dan mendapat tempat dihati mereka. 

Ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Didapati bahawa orang Bajau dan Iranun lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. Didapati juga orang Bajau dan Iranun masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik. 

Sewajarnya pemimpin-pemimpin kelahiran Kota Belud merancang satu program jangka panjang yang berjalan secara berterusan untuk membantu masyarakat di daerah ini. Apa yang kita lihat hanya rancangan-rancangan pembangunan menerusi strategi serampang dua mata. Program-program yang dijalankan pun hidup segan mati tak mahu. 

SR amat menghormati kewibawaan Wakil Rakyat Tempasuk, Datuk Haji Musbah walaupun beliau pernah diolok-olok pemimpin yang tiada pendidikan. Usahanya menempatkan Jelapang Padi di Kota Belud adalah satu usaha yang harus dipuji, walaupun seperti yang dimaklumkan kepada SR banyak berlaku kecacatan dengan projek berkenaan. Namun, usaha itu sangat murni sekali.

Maaf sekali lagi kepada yang tersinggung dengan artikel SR ini. Siapa yang mampu mengawal emosinya, mengendalikan akalnya dan menimbang segalanya dengan adil dan benar, maka ia akan mudah melihat keadilan dan kebenaran, mengetahui petunjuk dan memutuskan sesuatu dengan adil dan benar.

Wallahu’alam..

No comments:

Post a Comment