Thursday, 5 January 2012

Jeffrey G Kitingan Lancarkan Parti Politik Berentity Baru : Apa Untungnya Kepada Rakyat Sabah dan Sarawak?

6 Januari 2012: Bertempat di Dewan KDCA, Penampang, Sabah, akan berlangsungnya majlis pelancaran pembentukkan parti politik berentity baru yang akan disempurnakan oleh Presiden Barisan Borneo Bersatu (UBF), Datuk Jeffrey G Kitingan. Sebuah pembentukkan dengan parti-parti yang berpangkalan di Sarawak dikenali sebagai 'Perikatan Borneo Bersatu' yang kononnya akan memberi cabaran kepada UMNO/BN pada PRU ke 13 akan datang.

Jeffrey diwar-warkan akan menggunakan platform Parti Reformasi Negeri (STAR) berpangkalan di Sarawak yang dipimpin oleh Dr Dripin Anak Sakoi, selepas bekas presidennya Dr Patau Rubis memegang jawatan Pengerusi Tetap parti sahaja.

“Sabah dan Sarawak mempunyai kepentingan bersama. Kami rasa terdapat keperluan untuk menubuhkan sebuah perikatan sebagai platform untuk meneruskan agenda Borneo. Kami (Sabah dan Sarawak) boleh menjadi rakan sepasukan dalam melindungi dan memelihara kepentingan dan hak rakyat di kedua-dua negeri,” katanya kepada pemberita 16 Disember lalu.

Dalam hal demikian, SR ada merungkai sebelum ini kenapa Sabah dikatakan ‘fixed deposit’ UMNO/BN. Seandainya di PRU13 nanti tidak berlaku pertembungan dua penjuru (satu lawan satu) seperti yang berlaku pada PRU12 yang lalu, hasrat Jeffrey dan rakan-rakannya dalam parti-parti pembangkang di Sabah dan Sarawak tentu tidak akan kesampaian untuk menumbangkan kerajaan UMNO/BN.

Kewujudan banyak parti-parti sebagai parti pembangkang di Sabah dan Sarawak sebenarnya lebih menguntungkan UMNO/BN untuk berkuasa lebih lama lagi di Kepulauan Borneo. Jika ditakdirkan menang pun, apa yang mereka boleh buat sekiranya UMNO/BN masih berkuasa? Dalam Dewan Rakyat UMNO/BN boleh merubah segalanya, sebab mereka masih menerajui Dewan Rakyat.

Kita lihat sahaja peralihan demi peralihan kuasa yang berlaku di Sabah suatu ketika dahulu, dari kerajaan USNO sehingga PBS dan kini UMNO/BN. Apa yang Sabah/Sarawak dapat? Isu royalty dan PATI contohnya, banyak pemimpin-pemimpin komponen BN Sabah/Sarawak mendesak supaya Kerajaan Persekutuan ambil tindakan. Desakan demi desakan telah dilakukan, hakikatnya pemimpin-pemimpin Sabah/Sarawak seperti mencurah air di daun keladi.

Pemimpin-pemimpin pembangkang Sabah/Sarawak harus memikirkan suatu formula baru untuk menumbangkan kerajaan UMNO/BN di dua negeri ini. Sekiranya tiada juga kesepakatan atau perpaduan di antara pembangkang-pembangkang yang ada, seolah-olah mereka juga bersetuju dan menyokong dengan dua orang Ketua Menteri ini iaitu Taib Mahmud dan Musa Aman untuk meneruskan penguasaan mereka.

Rakyat juga disarankan agar lebih bijak menilai dan dapat mentafsir kewujudan sebenar parti-parti yang ada di Negara ini, di mana perjuangan untuk rakyat dan di mana perjuangan untuk kepentingan peribadi. Jangan kerana kepentingan peribadi, rakyat diheret kekancah kemufllisan akibat kerakusan, ketirisan, rasuah dan salahguna kuasa.

No comments:

Post a Comment