UBAH SEKARANG,
SELAMATKAN MALAYSIA!!
Setelah 53 tahun merdeka negara
kini berada dalam krisis. Cita-cita untuk membina sebuah bangsa yang bersatu
padu dan negara yang makmur telah gagal.
Demokrasi dan hak asasi rakyat
terus dinodai oleh pemerintah UMNO/BN. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa
membarah. Kekayaan negara telah dibolot oleh segelintir elit berkuasa. UMNO/BN
tidak mempedulikan rakyat terbanyak yang dihimpit oleh kos sara hidup yang
tinggi. Pendapatan rakyat tidak meningkat kerana dikekang oleh pemerintah. Daya
saing negara dan rakyat terhakis akibat dasar yang lemah, pelaksanaan yang
tidak berkesan dan kebijakan (dasar) yang tidak berjiwa rakyat.
Krisis parah sebegini memerlukan
tekad dan azam politik untuk diatasi. Malaysia memerlukan dasar-dasar baru
dengan membuat anjakan paradigma. Maka, Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan
politik (tahalluf siyasi) mengangkat suatu rencana dasar dan kebijakan yang
menyeluruh untuk membela rakyat melalui Dasar Bersama yang dimeterai.
Dasar Bersama adalah berlandaskan
empat kerangka asas iaitu:-
1. Demokrasi yang telus dan
tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat;
2. Memacu ekonomi berprestasi
tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara
adil;
3. Keadilan sosial bagi
menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan
4. Hubungan persekutuan-negeri
dan dasar luar negara yang adil-setara.
Dasar Bersama ini menggariskan
iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul
setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.
Muafakat asas yang membentuk
Dasar Bersama adalah ketulusan parti-parti Pakatan Rakyat meletakkan
Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya. Tiga perkara pertama
yang diangkat dalam Dasar Bersama adalah komitmen Pakatan Rakyat untuk:-
1. Mempertahankan Perlembagaan
Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh
diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi
kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah
dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
2. Mempertahankan peranan dan
tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan.
3. Memartabatkan penggunaan
Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan
memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan
memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan
penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat
global.
Ketetapan Pakatan Rakyat
mengangkat konsep muafakat di antara parti-partinya membentuk kesepakatan
perjuangan di dalam Pakatan Rakyat, lantas memberi laluan kepada lahirnya
sistem dua parti di negara ini. Sejarah besar yang dicipta dalam PRU12 perlu
dimanfaatkan supaya tekad rakyat untuk menukar kerajaan persekutuan dan sistem
pemerintahan yang bobrok dalam PRU13 berhasil. Tekad rakyat ini bukan sahaja
mulia dan bersejarah, ia satu kemestian untuk menyelamatkan Malaysia dari
krisis parah.
Agenda Pakatan ini adalah nadi
kepada perjuangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan pegangan untuk membina
sebuah negara dan masyarakat yang menzahirkan semangat demokrasi dan keadilan
dalam semua aspek. Agenda ini menuntut perubahan mutlak (minda, pendekatan dan
kaedah) untuk menggembleng muafakat semua pihak. Ini perlu demi membebaskan
institusi-institusi penting negara dari durjana campur tangan sebahagian kecil
golongan elit yang mempertahankan tembolok mereka semata-mata.
Pakatan Rakyat juga meletakkan
agenda pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama sebagai teras kepada
kesemua program yang telah dilaksanakan dan sedang dirancang, demi membela
nasib rakyat terbanyak.
Malaysia berdepan dengan prospek
ekonomi yang pudar dan semakin ketinggalan berbanding dengan negara-negara
serantau yang pernah setanding dengan kita. Tatkala Malaysia masih meraba-raba
mencari penawar kepada kemunduran ekonomi ini, negara wajib waspada dengan
saingan baru dari negara-negara yang sebelum ini lebih mundur dari kita. Darjat
ekonomi kita di mata antarabangsa dan dalam konteks ekonomi global telah
merudum.
Lebih parah lagi, pemerintah yang
bongkak dan mementingkan diri mengabaikan penderitaan rakyat. Bantuan-bantuan
kepada rakyat disekat atas nama mengurangkan beban kerajaan, sementara lohong
ketirisan sengaja dibesarkan agar kekayaan negara dapat mereka bolot secara
rakus.
Tindakbalas pemerintah juga
adalah songsang dan tidak mencerminkan keikhlasan untuk mengembalikan daya
saing negara. Rencana ekonomi baru yang dipersembahkan hambar kerana janji
untuk membawa ‘transformasi ekonomi’ bercanggah dengan tindakan semasa yang
bertentangan dengan tuntutan reformasi.
Makanya, negara dan rakyat
berdepan dengan ketakutan yang berlipat kali ganda. Amalan menunggang
institusi-institusi penting negara demi menutup kelemahan sendiri dan menekan
Pakatan Rakyat semakin berleluasa. Matlamat kuasa BN adalah untuk terus
berkuasa, bukannya mencari kebijakan yang adil dan berkesan untuk membawa
negara keluar dari kemelut ekonomi, politik dan sosial yang semakin menghimpit.
Malaysia perlu diubah sekarang.
Perjalanannya dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran persekutuan sedia ada
adalah kabur. Jika perubahan tidak dilakukan sekarang, segala kerosakan bangsa
dan negara akan berterusan. Malaysia akan bertukar dari status malap kepada
gelap.
Harapan dan kepercayaan rakyat
bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa yang berlandaskan prinsip
keadilan dan permuafakatan perlu dikembalikan segera. Pakatan Rakyat yakin
bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan meniupkan kembali roh
keadilan dan permuafakatan dalam sistem negara dan masyarakat kita.
Agenda Pakatan ini menggariskan
perincian dasar dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk
merealisasikan cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang makmur dan
adil. Kami percaya kemakmuran negara hanya akan dicapai dan berkekalan jika ia
ditunjangi oleh prinsip keadilan sosial dan persaudaraan rakyat. Hasrat ini
akan mekar berkembang; bila mana semangat demokrasi meresap ke seluruh pentadbiran
dan institusi-institusi penting negara.
Agenda Pakatan ini adalah
penzahiran hasrat rakyat untuk melaksanakan islah masyarakat yang digariskan
oleh Dasar Bersama. Ia adalah jendela yang paling luas untuk menggambarkan
sebuah Malaysia yang makmur dan adil di bawah Pakatan Rakyat.
Bersama-sama kita berubah
sekarang untuk menyelamatkan Malaysia. Ayuh kita bawa mesej perubahan ini ke
seluruh pelusuk negara.
Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN
Y.B. Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Y.B. Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
NEGARA DALAM
KRISIS
Krisis Ekonomi
Ekonomi negara terus kekal di
takuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/98. Selepas sedekad berdepan
dengan kelesuan ekonomi, Malaysia kini ditinggalkan jauh oleh negara-negara
seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura sementara kita juga diancam oleh
jiran serantau seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
Jawapan pentadbiran sedia ada
kepada kemelut ekonomi ini adalah dengan menabur janji-janji melalui kempen
slogan yang menelan belanja ratusan juta wang rakyat.
Rakyat disajikan dengan pelbagai
perancangan ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi
Kerajaan (PTK), Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan lain-lain yang
sebenarnya tidak keluar dari kebijakan ekonomi yang digunapakai selama ini.
Program-program ini masih
bersandarkan kepada keborosan membelanjakan wang rakyat untuk membina
projek-projek mega tanpa ada keikhlasan untuk melaksanakan reformasi ekonomi
yang diperlukan negara. 12 tahun berturut-turut kerajaan
Malaysia mengalami belanjawan defisit.
10 tahun berturut-turut Malaysia
gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi.
4.7% purata pertumbuhan ekonomi
2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%.
4.2% purata pertumbuhan ekonomi
2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%.
KDNK negara adalah lebih kecil
dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia
berlaku.
325 bilion ringgit wang PETRONAS
diambil antara tahun 2007 hingga 2010. Ini bermakna purata sumbangan PETRONAS
setahun adalah 81.25 billion ringgit.
53.3% adalah kadar hutang negara
berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam
tahun 1998.
3 kali ganda peningkatan
perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang PETRONAS dan hutang, dari RM68
bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010).
Kerosakan Institusi Negara
Institusi-institusi penting
negara rosak akibat dari campur tangan penguasa. Kewibawaan badan kehakiman
terhakis. Salah laku hakim-hakim yang dibongkarkan dan diketahui umum
menyebabkan rakyat dan masyarakat antarabangsa hilang keyakinan terhadap
institusi kehakiman.
Malah, amalan mencampur-adukkan
kepentingan politik penguasa dengan pentadbiran negara untuk memberi kelebihan
kepada parti yang berkuasa semakin menjadi-jadi.
Jika integriti
institusi-institusi penting negara tidak dipulihkan, bahana kepada negara dan
rakyat adalah berganda. Selain ketidakadilan yang berleluasa di dalam
masyarakat, sebarang usaha untuk membaiki imej Malaysia di mata pelabur asing
juga akan terus cacat dan tidak berkesan.
Malaysia jatuh 26 anak tangga
dalam indeks integriti institusi awam dalam laporan Daya Saing Global oleh
World Economic Forum dari tahun 2007 ke 2009.
Ketegangan Masyarakat Pelbagai Kaum
Pemerintah sedia ada mengambil
jalan tidak bertanggungjawab memecah belahkan perpaduan masyarakat pelbagai
kaum untuk terus kekal berkuasa. Taktik pecah dan perintah yang diwarisi dari
penjajah ini semakin menjadi-jadi sejak tsunami kebangkitan rakyat 2008;
menggambarkan tingkah laku penguasa yang akan menggadaikan keharmonian
masyarakat pelbagai kaum apabila semakin terdesak.
Rentetan peristiwa berbaur
perkauman yang berlaku sejak Mac 2008 akibat permainan politik perkauman sempit
UMNO/BN mengancam persaudaraan rakyat pelbagai kaum.
Kegilaan menggunakan isu-isu yang
mengapi-apikan perasaan curiga antara kaum dan menggugat keharmonian masyarakat
berbilang bangsa semakin menjadi-jadi mutakhir ini kerana penguasa yang terdesak.
Bebanan Rakyat
Kelesuan ekonomi dan kegagalan
pentadbiran sedia ada melonjakkan ekonomi ke prestasi lebih tinggi membawa
kesan yang mendalam kepada rakyat. Gaji yang tidak meningkat menyebabkan kuasa
beli rakyat berkurangan, apatah lagi dalam suasana kos sara hidup yang makin
meningkat.
2.6% purata kenaikan gaji rakyat
Malaysia antara tahun 2000 – 2010, berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia
(termasuk negara-negara miskin).
4% penurunan kuasa beli pengguna
jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.
40% dari rakyat Malaysia berada
dalam lingkungan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan,
menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia.
3 dari 4 keluarga yang berada
dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputra.
34% dari pekerja Malaysia
(dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji kurang dari RM700 sebulan,
iaitu bayaran dibawah paras kemiskinan.
62% dari jumlah RM39 bilion
bayaran subsidi dan pampasan yang ditanggung kerajaan setiap tahun adalah
subsidi kepada sektor korporat (penjana bebas, konsesi lebuhraya).
3 bilion adalah subsidi makanan
(gula, gandum, beras) yang cuba ditarik balik UMNO/BN, berbanding RM19 bilion
subsidi gas kepada penjana bebas dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi
lebuhraya setiap tahun.
RM19 bilion subsidi diberikan
kepada penjana bebas milik kroni setiap tahun, berbanding hanya RM11 bilion
subsidi minyak kepada rakyat yang cuba ditarik balik.
RM466 bilion hutang peribadi yang
ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia.
Hak Rakyat Dinodai
Peristiwa salah guna kuasa yang
memangsakan rakyat berleluasa. Insiden-insiden yang melibatkan remaja ditembak
polis semakin meningkat dan merangkumi mangsa dari pelbagai kaum.
Kebebasan rakyat untuk berkumpul
dan menyatakan pandangan mereka juga disekat dari pelbagai arah; baik yang
melibatkan rapat umum mahupun di laman internet. Ada ura-ura pentadbiran sedia
ada mencari jalan untuk mengetatkan kawalan mereka terhadap internet,
memandangkan ia satu-satunya jalan yang berkesan menyebarkan maklumat
alternatif kepada rakyat.
Tindakan-tindakan penguasa
sebegini tidak menggambarkan niat sebuah kerajaan yang menghormati kebebasan
rakyat dan menjaga kehormatan rakyatnya. Kekangan dari pihak berkuasa
berterusan dan tidak ada tanda-tanda akan berubah dengan sendiri.
Gejala Rasuah Berleluasa
Rasuah adalah barah utama yang
menghancurkan negara dan bangsa dari dalam. Gejala rasuah yang berakar menjadi
halangan kepada usaha-usaha untuk menyuntik dinamisme ke dalam ekonomi dan
masyarakat Malaysia keseluruhannya. Sejak sedekad lalu, rasuah juga adalah
penyebab kurangnya minat pelabur asing untuk datang ke Malaysia yang telah
merumitkan lagi usaha memulihkan ekonomi negara yang kian malap.
Rasuah berleluasa kerana dokongan
pentadbiran sedia ada yang selesa dengan golongan rentier (terutamanya dari
kalangan kroni dan parti pemerintah). Golongan rentier ini dikenali dengan
pelbagai nama sebelum ini – atas angin, Ali Baba dan sebagainya. Golongan ini
adalah parasit yang menyelewengkan sumber negara dari rakyat ke poket mereka.
Gejala rasuah akan terus
meruntuhkan daya saing dan jati diri rakyat Malaysia dalam suasana acuh tidak
acuh yang ditunjukkan pentadbiran sedia ada.
28 bilion kerugian yang
ditanggung negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan
rasuah yang berleluasa.
3 kali ganda hasil negara hilang
melalui rasuah, berbanding yang dibelanjakan untuk subsidi minyak rakyat.
4.4 skor dalam kedudukan Indeks
Persepsi Rasuah Negara tahun 2010, sedangkan sasaran UMNO/BN adalah 4.9. Skor
ini lebih rendah dari tahun 2009.
46% dari rakyat yang ditinjau
oleh Transparency International menyatakan bahawa gejala rasuah semakin
berleluasa dalam tahun 2010 berbanding 2009.
Krisis Pendidikan
Kelesuan ekonomi dan kesempitan
hidup yang dihadapi rakyat pelbagai kaum adalah bahana yang menimpa rakyat
apabila pendidikan di negara ini diperkotak-katikkan mengikut selera
pemerintah. Selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan, dunia pendidikan Malaysia
hilang serinya – dulu dihormati serantau, kini hanya mengambil tempat kedudukan
yang corot dalam senarai-senarai pendidikan antarabangsa.
Sekolah-sekolah dan universiti
dilihat sebagai pentas menjual pengaruh politik walhal pendidikan rakyat adalah
kaedah terbaik menstrukturkan masyarakat dan memacu ekonomi negara demi
kesejahteraan bersama. Negara-negara yang paling makmur dan sejahtera adalah
negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan peringkat rendah, menengah dan
tertiari yang paling berkesan dan adil.
57 anak tangga dalam senarai
Laporan Pembangunan Dunia UNDP 2010 mengenai kadar pembangunan insaniah di
dunia, jauh ditinggalkan Korea Selatan (12), Hong Kong (21), Singapura (27) dan
Brunei (37).
68.7% sahaja rakyat Malaysia yang
menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009, berbanding Korea
Selatan (96.4%), Hong Kong (75.2%) dan Brunei (88.2%).
1 orang dari setiap 4 orang
rakyat Malaysia tercicir dari pendidikan menengah dan tidak menamatkan
pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009.
29.7% sahaja rakyat Malaysia yang
memasuki alam pendidikan tertiari, berbanding Korea Selatan (96.1%).
KEMAKMURAN, KEADILAN SOSIAL DAN PERSAUDARAAN RAKYAT BERSAMA PAKATAN
RAKYAT
Pakatan Rakyat telah mempamerkan
rekod pentadbiran yang meniupkan semangat keadilan sosial dan persaudaraan
rakyat untuk menjamin kemakmuran bersama. Prinsip asas yang dijunjung dari
Dasar Bersama telah dihadam dan dihidupkan melalui pelbagai dasar pro-rakyat
yang telah dijalankan selama ini.
Fokus utama Pakatan Rakyat dalam
tempoh setahun akan datang adalah menyemarakkan lagi pendekatan pro-rakyat atas
landasan keutuhan sistem pentadbiran yang demokratik untuk memberi peluang
kepada rakyat menilai sendiri keikhlasan dan keberkesanan Pakatan Rakyat
sebagai sebuah kerajaan.
Ini akan dilakukan melalui
pengenalan langkah-langkah spesifik yang tertakluk di bawah bidang kuasa
kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan akan diperjuangkan di peringkat
nasional oleh pimpinan dan aktivis Pakatan Rakyat.
Rekod pembelaan rakyat yang
dicapai oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang,
Perak dan Selangor tidak dapat ditandingi oleh lawan. Pentadbiran Pakatan
Rakyat diakui bebas rasuah, telus, berjiwa rakyat lagi berkebajikan dan berjaya
meningkatkan hasil negeri berdasarkan laporan-laporan rasmi dari Jabatan Audit
Negara dan pemantau bebas.
Bidang-bidang yang akan diberi
tumpuan khusus dalam usaha menterjemahkan Dasar Bersama adalah seperti berikut:
Membebaskan Institusi Negara
·
Merakamkan pentingnya institusi-institusi
penting negara yang bebas dan berintegriti, Pakatan Rakyat komited untuk:-
·
Meneruskan konsep pentadbiran yang kompeten,
bertanggungjawab dan telus seperti yang telah diamalkan di negeri-negeri
Pakatan Rakyat; sebagai gambaran sebuah pentadbiran yang membebaskan
institusi-institusi penting negara dari cengkaman campur tangan politik.
·
Mewujudkan Majlis Pakar-Pakar (Council of
Experts) dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk
merangka dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani
kemelut negara dan masyarakat.
·
Mewujudkan Jawakatankuasa Parlimen yang memantau
fungsi dan keberkesanan Kementerian-kementerian, dengan penerbitan laporan
Jawatankuasa Parlimen setiap enam bulan sekali.
·
Memperhebatkan proses pendidikan politik melibatkan
golongan sasaran yang lebih besar mengenai peri penting keutuhan
institusi-institusi penting negara yang berintegriti; dengan kerjasama NGO dan
masyarakat sivil/madani.
·
Istiqamah dalam kempen dan gerak kerja politik
untuk memberi tekanan kepada pentadbiran sedia ada agar membebaskan
institusi-institusi penting negara dari campur tangan politik.
Kemakmuran Melalui Pengagihan Ekonomi yang Adil
Menghargai pengorbanan dan rasa
perit rakyat yang tertindas dengan kesempitan hidup akibat agihan ekonomi yang
tidak adil, Pakatan Rakyat komited untuk:-
·
Menukar aliran pemikiran rakyat supaya beralih
dari tumpuan kepada persoalan ekuiti yang sering ditimbulkan lawan kepada
langkah-langkah khusus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat. Persoalan
ekuiti 30% yang kononnya diperjuangkan untuk Melayu/Bumiputra telah
diselewengkan untuk mengkayakan golongan elit dan pemerintah, sedangkan rakyat
terbanyak masih lagi bergelumang dalam kemiskinan. Kaedah meningkatkan
pendapatan isi rumah memberi kesan ekonomi yang langsung kepada ratusan ribu
keluarga yang masih berada di bawah garis pendapatan RM1,500 sebulan.
·
Menyiasat dan bertindak ke atas penyelewengan
harta rakyat atas nama menjaga hak Melayu/Bumiputra termasuklah skandal
kehilangan RM52 bilion saham yang diperuntukan kepada golongan elit dan kroni
pemerintah atas nama Melayu/Bumiputra, sedangkan majoriti rakyat masih lagi
berada di dalam kategori rakyat miskin.
·
Meneruskan skim bantuan terus kepada rakyat
tanpa diskriminasi sebagai kaedah mengagihkan kekayaan negara dengan lebih adil
kepada rakyat, termasuklah skim-skim kebajikan rakyat seperti skim air percuma,
skim warga emas, skim bantuan ibu tunggal dan lain-lain.
·
Mempertahankan hak rakyat untuk mendapat bantuan
kerajaan dalam bentuk subsidi minyak dan barangan keperluan asas selagi
subsidi-subsidi korporat kepada penjana bebas dan pemegang-pemegang konsesi
tidak distrukturkan terlebih dahulu.
·
Membela golongan termiskin berpendapatan isi
rumah di bawah RM1,500 tanpa mengira kaum dengan mensasarkan matlamat menjamin
pendapatan isi rumah minima RM4,000 setiap keluarga dalam tempoh lima tahun
memerintah di peringkat Persekutuan. Ini boleh dilaksanakan melalui beberapa
dasar bersepadu yang bertujuan mengangkat pendapatan rakyat dan menambah
peluang pekerjaan agar setiap isi rumah mempunyai lebih dari seorang yang
berpendapatan. Dasar-dasar ini termasuklah pelaksanaan gaji minima,
undang-undang majikan yang memberi ruang kepada kaum wanita melaksanakan
tugasan dari rumah, skim latihan untuk menukar dan menaiktaraf tenaga kerja dan
bantuan keusahawanan yang tidak mengamalkan diskriminasi.
·
Menjamin kelangsungan bekalan makanan negara
pada harga yang tidak membebankan negara dengan langkah-langkah drastik dalam
tempoh dua tahun memerintah di peringkat Persekutuan untuk mengurangkan
pergantungan kepada import makanan.
Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna Rakyat
Menyedari terhakisnya kuasa beli
rakyat akibat kenaikan gaji yang tidak setara dengan kos sara hidup yang
mencanak, ada keperluan mendesak supaya pendapatan boleh guna (disposable
income) rakyat ditingkatkan serta-merta. Pakatan Rakyat komited untuk:-
·
Menstrukturkan kembali empat bidang
infrastruktur dan utiliti awam supaya kos yang kini dibayar oleh rakyat dapat
dikurangkan dengan menghentikan manipulasi monopoli untuk keuntungan berlebihan
oleh pemegang konsesi. Empat bidang infrastruktur dan utiliti awam ini adalah
bekalan air, bekalan elektrik, lebuhraya dan kemudahan jalur lebar. Pakatan
Rakyat akan memulangkan pengurusan bidang-bidang ini kepada rakyat melalui
kaedah pengurusan yang lebih kompetitif.
·
Menyempurnakan pengambilalihan pengurusan
industri air di Lembah Klang demi menjamin tarif air yang berpatutan untuk
rakyat dan meneruskan Skim Air Percuma yang telah dinikmati rakyat.
·
Menjamin tidak ada penswastaan sektor kesihatan
bagi memastikan khidmat kesihatan yang bermutu dan percuma dapat terus
disediakan kepada rakyat terbanyak.
·
Mewujudkan Perbadanan Perumahan Negara sebagai
badan induk yang mengawal, membangunkan dan mengurustadbir skim pembangunan
rumah rakyat untuk menjamin setiap keluarga di Malaysia mampu memiliki kediaman
yang selesa pada harga yang berpatutan dengan pendapatan mereka.
·
Menyelesaikan kes-kes projek perumahan
terbengkalai yang menekan rakyat dengan sebarang kaedah yang difikirkan sesuai
oleh kerajaan pada kadar yang segera. Setakat ini, projek perumahan
terbengkalai membabitkan 3,000 unit telah diambil alih dan sedang dipulihkan
oleh kerajaan Pakatan Rakyat.
·
Meneruskan dan meningkatkan skim mikrokredit
yang diperkenalkan untuk memberi bantuan khusus kepada golongan termiskin
melonjakkan kedudukan ekonomi mereka, melalui bantuan kewangan, latihan dan
pemantauan. Setakat ini, RM70 juta telah diperuntukkan untuk skim mikrokredit
di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Pemberdayaan Rakyat
Merakamkan peranan rakyat sebagai
mekanisme timbang tara (check and balance) yang penting untuk menjamin
pentadbiran yang bersih, Pakatan Rakyat komited untuk:-
·
Meneruskan pemberdayaan rakyat sebagai mekanisme
timbang tara dengan mengamalkan ketelusan pentadbiran dan maklumat dengan
rakyat. Ini termasuklah dengan menyempurnakan pelaksanaan Enakmen Kebebasan
Maklumat (Freedom of Information Enactment) yang telah pun diperkenalkan di
negeri-negeri Pakatan Rakyat.
·
Memperhebatkan sokongan kepada masyarakat
sivil/madani melalui bantuan-bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang
memperjuangkan rakyat, sebagai langkah mengukuhkan peranan NGO menjadi suara
pembela rakyat.
Golongan Pendidik Diutamakan
Merakamkan penghargaan kepada
golongan pendidik yang menjadi teras pembangunan negara dan persaudaraan
rakyat, Pakatan Rakyat komited untuk:-
·
Meneruskan bantuan terus kepada semua jenis
institusi pendidikan marhaen yang membuka ruang pendidikan kepada rakyat,
termasuk bantuan terus kepada golongan pendidik di institusi-institusi ini
sebagai penghargaan kepada pengorbanan dan khidmat mereka.
·
Memperjuangkan pengharmonian gaji pendidik yang
berbeza-beza latar belakang dan kelulusan, dengan prinsip memastikan kriteria
penilaian yang lebih adil kepada para pendidik mengambil kira kepakaran dan tempoh
berkhidmat.
·
Memperjuangkan skim gaji yang setara dengan
golongan profesional di dalam sektor-sektor lain seperti jurutera, akauntan dan
doktor yang diikat dengan penilaian prestasi yang lebih adil dan menyeluruh
untuk menjamin mutu pendidikan negara.
·
Menilai semula guna tenaga semasa di
sekolah-sekolah untuk memastikan semua guru-guru terlatih dan berkelayakan,
termasuk menyelesaikan persoalan naiktaraf guru-guru sandaran.
·
Mengurangkan karenah birokrasi dan pentadbiran
dalam dunia pendidikan yang membebankan golongan pendidik, terutamanya
pertukaran-pertukaran dasar utama yang silih berganti dan mengongkong golongan
pendidik kepada kerja-kerja menulis laporan dan pentadbiran yang mengurangkan
masa pengajaran dan pembelajaran.
Budaya Ilmu Sebagai Teras Universiti
Mengangkat krisis kredibiliti dan
mutu universiti sebagai masalah utama negara, Pakatan Rakyat percaya bahawa
penyelesaian tidak boleh dilengahkan dan tumpuan khusus perlu diberikan kepada
usaha-usaha memartabatkan universiti. Pakatan Rakyat komited untuk:-
·
Mengembalikan kebebasan intelek dan akademik
kepada universiti, dengan menghapuskan semua campur tangan politik dalam urusan
universiti.
·
Mewujudkan Panel Pemilih yang terdiri daripada
pakar-pakar untuk menyenarai pendek dan menilai calon-calon pimpinan universiti
supaya calon yang terbaik diangkat mengepalai universiti, sebagai bukti
komitmen Pakatan Rakyat kepada prinsip meritokrasi akademik di universiti.
·
Menyertai perjuangan mahasiswa dengan memberi
sepenuh sokongan dan bimbingan untuk menghapuskan AUKU dan menuntut hak
bersuara dan berpolitik mahasiswa.
·
Menyelesaikan krisis pembiayaan pendidikan
tinggi (yang dijangka akan menyebabkan defisit PTPTN melambung ke paras RM46
bilion dalam masa sedekad) dengan mengurangkan beban peminjam dengan cara
memperkenalkan polisi pinjaman tanpa faedah dan membenarkan pembayaran semula
enam bulan setelah peminjam mendapat pekerjaan tetap.
·
Menjamin hak setiap rakyat Malaysia yang layak
untuk mendapatkan pendidikan tinggi pada kadar yang paling minima.
·
Mengembalikan hak rakyat yang dijamin di dalam
Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan biasiswa bagi mereka yang layak dan
menghentikan kecenderungan memperdagangkan pendidikan tinggi demi keuntungan.
Memerangi Rasuah
Menginsafi kemusnahan yang telah
dibawa oleh barah rasuah kepada masyarakat dan negara kita, Pakatan Rakyat
komited untuk:-
·
Membawa pentadbiran SPRM di bawah
pertanggungjawaban Parlimen, termasuk dalam urusan meluluskan perlantikan
jawatan-jawatan tertinggi SPRM.
·
Melancarkan perang membasmi rasuah di peringkat
negeri termasuk mengemaskini prosedur dan mekanisme pentadbiran untuk
mengurangkan jurang berlakunya rasuah.
·
Menyediakan peguam-peguam dan pemimpin parti
untuk membela individu atau pihak yang membongkarkan skandal rasuah tidak
mengira fahaman politik, supaya lebih ramai yang tampil ke hadapan memikul
tanggungjawab memerangi rasuah.
·
Meneruskan amalan tender terbuka yang telah
dilaksanakan, termasuk dengan memperkenalkan inovasi baru dalam pentadbiran
perolehan bagi mengetatkan lagi prosedur perolehan agar bebas dari anasir
rasuah.
Sabah-Sarawak Sebagai Rakan Kongsi
Menghormati kedudukan Sabah dan
Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia dan perjanjian-perjanjian
yang telah dibuat, Pakatan Rakyat komited untuk:-
·
Mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak
sejajar dan dalam kerangka Perjanjian Persekutuan dan Perlembagaan negara.
·
Menaikkan royalti dari hasil petroleum dan
hidrokarbon dari Sabah dan Sarawak kepada 20% berbanding kadar 5% yang
diamalkan masa kini.
·
Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan
kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
·
Memberi tumpuan khusus membawa pembangunan
infrastruktur di Sabah dan Sarawak agar setara dengan tahap prasarana yang ada
di negeri-negeri lain di dalam Persekutuan.
·
Meningkatkan integrasi nasional di antara Sabah,
Sarawak dan Semenanjung melalui perkongsian kuasa yang adil dan menepati
semangat Persekutuan.
PROGRAM 100 HARI PAKATAN RAKYAT
Pakatan Rakyat akan melaksanakan
reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan
dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.
Sebagai permulaan kepada
reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan
melaksanakan program berikut:-
1. Mereformasikan insititusi-institusi
penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk
mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.
2. Memansuhkan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA).
3. Mengarahkan Khazanah Berhad,
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang
memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh
kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
4. Merombak struktur subsidi
negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas
sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung
perbelanjaan subsidi rakyat.
5. Mengiktiraf peranan dan jasa
kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan
imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai
penghargaan guru pendidik bangsa.
6. Menjadikan air sebagai hak
rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta
kepada kerajaan.
7. Menyediakan perkhidmatan
internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
8. Membatalkan Felda
Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada
generasi kedua dan ketiga Felda.
9. Menaikkan royalti minyak
kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.
10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja
bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
1. Demokrasi Telus dan Tulen
A – Negara Perlembagaan dan
Kedaulatan Undang-Undang
B – Pemisahan Kuasa
C – Sistem Pilihanraya Yang
Bersih, Bebas dan Adil
2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil
A – Ekonomi Kemahiran Tinggi
B – Ekonomi Demokratik dan Telus
C – Desentralisasi dan
Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
D – Dasar Afirmatif Berdasarkan
Keperluan
E – Tenaga Kerja
F – Jaringan Perlindungan Sosial
G – Perumahan
H – Prasarana dan Kemudahan Awam
I – Alam Sekitar
3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan
A – Perpaduan dan Keadilan Sosial
B – Agama
C – Pendidikan
D – Wanita dan Institusi Keluarga
E – Golongan Muda
F – Keselamatan
G – Kesihatan
H- Kebudayaan
4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara
A – Sistem Persekutuan
B – Sabah dan Sarawak
C – Dasar Luar Negara
MUAFAKAT RAKYAT
Pakatan Rakyat menyediakan suatu
rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut
yang semakin meruncing.
Agenda pembangunan bangsa telah
tergelincir akibat dari faham perkauman sempit, politik adu domba dan
“demokrasi otoritarian”. Ekonomi merudum akibat dari keruntuhan akal budi,
kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia
tercicir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.
Ketidakadilan ekonomi semakin
ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan miskin, antara
bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.
Peningkatan jenayah
mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan polis
disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem
kehakiman terus digasir oleh campur tangan politik dan kepentingan perniagaan.
Setengah abad Malaysia merdeka
dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan manakala rakyat dari
pelbagai kaum mempamerkan semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan
jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan
menginjak hak rakyat.
Menginsafi semangat rakyat
tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan
melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari
pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.
Malah kami yakin; kita mampu
berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan hidup beragama, nilai
kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara
hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok. Dasar yang terpasak dari
kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan
menjamin keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia
menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan
dimartabatkan.
Pakatan Rakyat berkeyakinan
bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih pantas melalui dasar ekonomi
pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada pembangunan manusia seutuhnya.
Kebijakan ekonomi harus menjadikan Malaysia mampu berdaya saing, iklim
pelaburan yang sihat, percukaian progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai
keadilan melalui kaedah pengagihan ekonomi yang adil terutama bagi kelompok
miskin dan terpinggir.
Pakatan Rakyat menolak dasar yang
membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan
kuasa. Demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yang hanya
memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan
bantuan kepada golongan miskin di Malaysia tanpa mengira kaum.
Berdasarkan latar belakang ini
kami mengajak rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan
keadilan untuk semua dan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang
mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan
kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan
bersatu padu.
1. Demokrasi Telus dan Tulen
A – Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang
Perlembagaan Persekutuan
merupakan penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di
dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan
budaya dijamin sepenuhnya. Justeru, Pakatan Rakyat beriltizam memartabatkan
semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Mempertahankan
Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama
lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta
melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara
Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan
Perkara 153.
ii. Mempertahankan peranan dan
tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.
iii. Memartabatkan
pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan
memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan
memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.
iv. Memansuhkan
Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa
dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan
Darurat yang masih berkuatkuasa.
v. Memansuhkan atau
meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.
vi. Menjamin semangat
persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri,
terutama Sabah dan Sarawak.
B – Pemisahan Kuasa
Keberkesanan amalan sistem
demokrasi bergantung kepada keutuhan pelaksanaan doktrin pemisahan kuasa.
Integriti sesebuah kerajaan bergantung kepada kebebasan, kebolehpercayaan dan
kewibawaan institusi-institusi yang diamanahkan untuk menjamin keseimbangan
antara cabang eksekutif, kehakiman dan legislatif.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Memulihkan kewibawaan
sistem kehakiman dan menjamin ketelusan serta kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya
Perlantikan Kehakiman.
ii. Menyusun semula perjalanan Parlimen untuk
menjadikannya lebih telus, demokratik dan dapat menjalankan peranan kuasa semak
dan imbang.
iii. Menjamin pertanggungjawaban badan-badan seperti
Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia, Petronas, Khazanah dan sebagainya secara langsung kepada Parlimen.
iv. Mewajibkan perlantikan jawatan-jawatan seperti Ketua
Polis Negara, Peguam Negara, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan
Ketua Audit Negara mendapat kelulusan Parlimen.
v. Mewujudkan Jabatan Hisbah Negara (Ombudsman).
vi. Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan
meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin
ketelusan di semua peringkat secara demokratik.
vii. Membebaskan media, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan
1984, menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan memastikan kebebasan Internet.
viii. Mempertingkatkan prestasi sektor perkhidmatan awam serta menjamin
kebajikan anggotanya. Memastikan institusi tersebut berkecuali dan menjalankan
tanggungjawabnya secara cekap.
ix. Memberdayakan dan memugar masyarakat madani atau sivil.
Menyemarakkan penyertaan rakyat melalui dialog dan perundingan.
C – Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil
Kewibawaan sistem pilihanraya
yang tempang mesti dipulihkan. Kuasa keramat rakyat untuk memilih pemimpin
negara mesti dipertahankan daripada sebarang kecurangan yang membuka ruang
kepada penyelewengan. Makanya adalah penting untuk kita mengkaji semua
akta yang berkaitan dengan pilihanraya.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Membolehkan setiap rakyat
berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran secara automatik.
ii. Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian
dengan membersihkan senarai pengundi, memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam
negeri, memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi dan menggunakan
dakwat kekal.
iii. Memastikan media massa memberi ruang kepada semua
parti politik secara adil dan saksama, tempoh kempen yang munasabah dan
pengendalian serta perjalanan pilihanraya yang bersih dan bebas.
iv. Menentukan persempadanan kawasan undi dibuat dengan
mencerminkan prinsip Satu Rakyat, Satu Undi demi menjamin perwakilan yang lebih
adil dan saksama.
v. Memperuntukkan belanja kempen kepada parti-parti
politik berdasarkan peratusan jumlah undi yang diperolehi pada pilihanraya
umum.
vi. Menggubal undang-undang yang lebih berkesan bertujuan
menghukum calon atau parti politik yang terbabit rasuah atau amalan membeli
undi.
2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil
Pakatan Rakyat bertekad
menjadikan ekonomi negara berprestasi tinggi dan memiliki pertumbuhan mapan.
Pemunggahan sumber-sumber dan khazanah negara secara cekap dalam pelaburan
dibidang-bidang dan sektor-sektor utama dan strategik adalah penting bagi
menjamin daya saing negara.
Merancakkan pelaburan tempatan
dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta menggamit pelaburan asing
langsung yang berterusan bakal menjadikan ekonomi berdaya maju dan berdaya
tahan.
Pakatan Rakyat beriltizam untuk
‘Merakyatkan Ekonomi Negara’ bagi memastikan kemakmuran dan kekayaan yang
terhasil dikecapi oleh seluruh lapisan rakyat. Sekaligus merapatkan kesenjangan
diantara kaya-miskin serta mengatasi ketidak seimbangan pembangunan wilayah
akibat pengurusan tempang yang tidak mendahului kepentingan rakyat ramai.
A – Ekonomi Kemahiran Tinggi
Paksi kepada ekonomi berprestasi
tinggi adalah tenaga kerja yang berpengetahuan, berketerampilan dan
berkemahiran. Pakatan Rakyat akan membuat segala pelaburan yang diperlukan untuk
membekalkan kewujudan warga kerja berproduktiviti tinggi ini bagi melonjakkan
nilai tambah dalam kegiatan ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Menjamin peluan pendidikan
tinggi dan latihan berteraskan ketrampilan dibekalkan dalam seluruh sektor perkhidmatan
pembuatan dan pertanian.
ii. Memastikan warga kerja
diberi peluang meningkatkan kemahiran serta diberi latihan berterusan untuk
terus meningkatkan produktiviti.
iii. Menggalakkan warga neraga
yang professional dan berkemahiran yang bermastautin di luar negara kembali ke
tanah air dengan menyedaikan suasana kerja yang professional dan menarik.
B – Ekonomi Demokratik dan Telus
Pakatan Rakyat beriltizam
melaksanakan dasar-dasar pengurusan ekonomi yang bebas rasuah, penyalahgunaan
kuasa dan kronisme bagi meningkatkan kepertanggunjawaban, ketelusan dan urus
tadbir yang baik.
Kebejatan rasuah dan
penyalahgunaan kuasa telah melenyapkan kekayaan dan mengekang pertumbuhan mapan
serta menghakis daya sain negara.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Merombak sistem tender supaya adil, telus,
terbuka dan memberi nilai terbaik untuk wang rakyat.
ii. Menolak penswastaan yang membebankan. Merunding
semula konsistensi dan kontrak yang bersifat menguntungkan kroni dan tidak adil
kepada rakyat, termasuk yang melibatkan IPP, tol lebuhraya dan prasarana air.
iii Melaksanakan sistem cukai progresif serta
menolak sebarang cukai yang membebankan rakyat termasuklah cadangan
perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehinggalah rakyat serta
negara bersedia.
C – Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
Selaras dengan semangat
persekutuan untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, keberkesanan
dan kecekapan perbelanjaan, maka pelaksanaan dasar pembangunan dan ekonomi yang
meluas perlu diagihkan kepada kerajaan negeri mengikut keutamaan masing-masing.
Desentralisasi mampu mendorong
perubahan struktural dalam kerangka ekonomi bagi lonjakan kecekapan
ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap kecekapan dalam
perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkat hasil perbelanjaan kerajaan
dalam ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:-
Melaksanakan formula geran
pembangunan dan kesamaan berdasarkan faktor jumlah penduduk, kadar kemiskinan,
kawasan pembangunan, kos, pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar
per kapita akan turut diberikan bagi memastikan negeri yang miskin tidak
ketinggalan.
ii. Mengagihkan kuasa
pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan kerja prasarana kepada kerajaan negeri,
misalnya hak rundingan saksama dalam menentukan reka bentuk dan jaringan
pengangkutan awam.
iii. Menjana pembangunan
kawasan yang lebih seimbang, sekali gus mencipta bandar sekunder yang produktif
di seluruh negara demi mengurangkan pemusatan pembangunan di Lembah Klang.
iv. Mengutamakan dasar-dasar
penjanaan pertumbuhan tinggi serta berjangka panjang, berasaskan pemahaman
ekonomi di mana kerajaan negeri berada dalam kedudukan terbaik untuk menentu
serta melaksanakan strategi sosio-ekonomi.
D – Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
Pakatan Rakyat memperakui bahawa
setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bantuan berdasarkan keperluan tanpa
mengira latar belakang. Pakatan Rakyat bertekad untuk merakyatkan ekonomi
negara, agar khazanah negara dapat dinikmati dengan adil oleh semua.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Menjamin bantuan ekonomi
dan pengagihan adil kepada semua berdasarkan keperluan.
ii. Membantu golongan
terpinggir dari semua kaum.
iii. Memberi bantuan tunai secara terus kepada kumpulan
sasar untuk menghapuskan golongan miskin tegar.
iv. Menyediakan biasiswa pendidikan berdasarkan keperluan
dan merit.
v. Menjamin mobiliti sosial dengan memastikan peluang
ekonomi yang lebih adil dan sama rata untuk semua.
vi. Menggunakan penjimatan dari ketirisan dan pembaziran
serta jihad menentang rasuah sebagai sumber tambahan bagi program membasmi
kemiskinan
E – Tenaga Kerja
Tenaga kerja adalah tunjang
kepada kemakmuran negara yang berterusan. Pakatan Rakyat akan menjamin semua
pekerja Malaysia dilayan dengan adil serta memastikan kebajikan dan
kesejahteraan pekerja dipelihara.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Memperkenalkan gaji minima
untuk semua pekerja Malaysia.
ii. Mempertahankan hak pekerja untuk membentuk
kesatuan sekerja mengikut kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan
mereka diberi hak dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa.
iii. Memperkenalkan Akta Peluang Saksama untuk memastikan
peluang pekerjaan terbuka kepada semua.
iv. Menyokong pengusaha dan peniaga Perusahaan Kecil dan
Sederhana dengan menyediakan capaian kepada pinjaman dan prasarana yang
mencukupi serta mengurangkan karenah birokrasi.
v. Mempermudahkan bantuan kepada nelayan dan petani
untuk memacu peningkatan produktiviti.
vi. Menyusun dasar pekerja asing yang bersepadu dan
mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
vii. Menyediakan sistem sokongan kepada golongan terbabit dalam
sektor ekonomi informal seperti peniaga kecil, penjaja, petani dan mereka yang
bekerja sendiri.
F – Jaringan Perlindungan Sosial
Setiap rakyat Malaysia harus
menikmati hidup yang bermaruah pada setiap masa. Rakyat yang hilang mata
pencarian, warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpendapatan rendah
mesti dilindungi dan diberi peluang untuk turut menikmati faedah pembangunan
ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Memperkukuhkan sistem
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan memperkenalkan sistem pencen untuk setiap
pekerja sektor swasta.
ii. Menubuhkan Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan
sementara rakyat yang hilang pekerjaan, subsidi untuk latihan semasa kerja dan
latihan semula pekerja.
iii. Memperkenalkan usia tamat
tempoh perkhidmatan 60 tahun bertujuan memberi peluang kepada mereka yang ingin
terus menyumbang kepada masyarakat.
G – Perumahan
Rumah merupakan keperluan asas
manusia. Hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak berkeupayaan
memiliki rumah sendiri terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Maka;
Pakatan Rakyat akan:-
i. Menubuhkan Perbadanan
Perumahan dengan mandat untuk menambahkan bilangan rumah mampu milik dan
mencapai matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah.
ii Mengatasi masalah ‘setinggan/peneroka
bandar’sebaiknya melalui pembangunan perumahan in situ dan/atau perkongsian
tanah dan melalui syarat-syarat pinjaman yang murah bagi membantu setinggan
membeli rumah mereka.
iii. Menyelaraskan sistem
perundingan antara ‘setinggan/peneroka bandar’, pemaju dan pihak berkuasa untuk
mencapai penyelesaian menang-menang bagi perkara-perkara berkaitan perumahan
dan tanah;
iv. Menyediakan bantuan bagi
menaik taraf rumah kos rendah dan PPR untuk memenuhi penambahan bilangan isi
rumah;
v. Melabur dalam kemudahan awam di sekitar pangsapuri
bagi memastikan keseimbangan dan persekitaran yang sihat.
vi. Menggalakkan ketelusan dan persaingan dalam sektor
kewangan untuk membuat pinjaman perumahan lebih mudah dan mampu dinikmati.
vii. Bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyemak dasar
perumahan dan memastikan perumahan kos rendah mampu milik disediakan untuk
mereka yang memerlukannya.
H – Prasarana dan Kemudahan Awam
Penyediaan dan penyenggaraan
prasarana awam yang baik merupakan tanggungjawab kerajaan. Perlaksanaannya
mestilah tidak membebankan rakyat atau menguntungkan kroni tertentu. Prasarana
dan kemudahan awam yang baik membolehkan rakyat Malaysia meningkatkan
pendapatan boleh belanja dan produktiviti mereka.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Menjamin bekalan air
bersih dan tarif elektrik dengan harga yang berpatutan kepada setiap keluarga
di Malaysia.
ii. Merunding semula segala perjanjian tol dan
mengkaji pembelian balik lebuhraya PLUS dengan matlamat melupuskan tol dalam
jangka masa 7 tahun.
iii. Meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam
melalui penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam yang terdiri daripada pihak
kerajaan dan wakil masyarakat.
iv. Memperkenalkan sistem
separuh tambang bagi warga emas, orang kurang upaya, pelajar dan pesara untuk
semua jenis pengangkutan awam.
v. Menyemak semula pemberian permit teksi kepada
syarikat-syarikat besar dengan keutamaan kepada pengusaha individu dan
persatuan mereka.
vi. Menyediakan perkhidmatan talian jalur lebar tanpa wayar
yang cekap secara percuma untuk mengurangkan jurang digital.
I- Alam Sekitar
Alam sekitar merupakan khazanah
negara yang wajib dipelihara untuk kelestarian hidup generasi masa depan.
Mendepani krisis perubahan iklim, Pakatan Rakyat beriltizam:-
i. Membudayakan amalan kitar
semula dengan menyediakan prasarana dan sistem yang menyeluruh.
ii. Memastikan segala aktiviti pembalakan dan
penebangan hutan dijalankan secara terkawal.
iii. Membina asas dan kemahiran teknologi bagi untuk melicinkan
peralihan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif.
iv. Mengawal sebarang pembinaan di lereng bukit dan
kawasan-kawasan berbahaya.
v. Merendahkan kadar pelepasan karbon selaras dengan
piawaian antarabangsa dan meningkatkan daya sistem ekologi untuk menyerap
karbon.
3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan
A – Perpaduan dan Keadilan Sosial
Pakatan Rakyat bertekad untuk
menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip
memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan
kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama.
Pakatan Rakyat berjanji membina semula sebuah masyarakat berbilang kaum yang
padu, di mana kaum-kaum yang berbeza itu hidup dalam aman dan harmoni.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Memberi tumpuan kepada
usaha memperbaiki hubungan kaum dan agama yang telah rosak.
ii. Mengembeling tenaga semua
pihak yang berkepentingan untuk menyuburkan sikap baik-sangka, saling hormat
dan mempercayai yang memang telah begitu lama diamalkan rakyat berbilang kaum
dan agama di Malaysia.
iii. Menggubal Akta Perhubungan
Kaum bagi menjamin kerukunan dan keharmonian rakyat serta tiadanya lagi
diskriminasi antara kaum.
iv. Pakatan Rakyat akan menjana
sokongan setiap peringkat masyarakat supaya berpegang teguh kepada segala
prinsip dan petunjuk yang wajar dipegang oleh sebuah masyarakat yang terbuka.
v. Menghapuskan amalan politik perkauman melalui
pelbagai cara termasuk pendidikan, media massa, dialog dan perundingan.
vi. Memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai moral dan
citra unggul yang boleh diterima semua kaum. Ini memerlukan sikap terbuka
terhadap kepelbagaian budaya yang dianuti pelbagai kaum dan puak di Malaysia.
Pakatan Rakyat akan melakukan semua ini dengan mengambil kira
sejarah dan evolusi negara ini.
vii. Meningkatkan kebajikan Orang Asli, Orang Asal dan golongan
minoriti lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak selain mempertahankan
hak asasi, ekonomi dan sosial mereka.
B – Agama
Agama dan anutan kepercayaan
rakyat Malaysia seharusnya menjadi asas kesepakatan berlandaskan nilai murni
yang bersifat sejagat. Rakyat Malaysia kini hampir tergelincir ke dalam kawah yang mendidih
didorong angkara yang menyebabkan perpecahan dan ketegangan kerana berlainan
agama. Tidak sewajarnya ada pertikaian mengenai hakikat bahawa Malaysia adalah
sebuah negara yang menganuti sistem demokrasi di mana agama Islam menduduki
tempat istimewa sebagai agama persekutuan sementara hak agama-agama lain
dijamin.
Pakatan Rakyat berikrar:-
i. Mempertahankan kedudukan
agama Islam sebagai agama persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama
setiap rakyat Malaysia.
ii. Menganjur dialog dan rundingan antara peradaban
untuk mengukuhkan persefahaman.
iii. Menubuhkan mekanisme yang menyeluruh untuk memberi
penyelesaian yang adil dalam kes-kes yang melibatkan pertindihan sistem
perundangan sivil dan syariah, termasuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk
mengkaji semua isu-isu berkaitan dengan mendalam.
iv. Memperkukuhkan pengurusan institusi Islam seperti Baitul
Mal dan Tabung Haji bagi memastikan ia dikendalikan dengan berkesan, cekap dan
memenuhi matlamat.
v. Memastikan kawasan yang sesuai untuk tempat ibadat
dan pusara bagi semua penganut agama.
C – Pendidikan
Pendidikan seharusnya bermatlamat
untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasad dan intelek.
Melalui sistem pendidikan negara, Pakatan Rakyat bertekad untuk menyediakan
sebuah sistem pendidikan yang mapan, bermutu dan menjamin peluang yang saksama
kepada rakyat.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Menjadikan sekolah
kebangsaan sebagai peneraju sistem pendidikan negara. Memastikan sokongan dan
pembiayaan secara adil kepada sekolah-sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan
Cina dan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah vokasional dalam usaha bersama untuk
meningkatkan taraf pendidikan negara.
ii. Mengimbangi penekanan kepada sistem peperiksaan
dengan sistem pembelajaran berasaskan pemikiran kritis dan analitikal dengan
matlamat mencari kebenaran.
iii. Memastikan setiap pelajar yang berkelayakan mendapat
tempat di institusi pengajian tinggi awam tanpa mengira latar belakang.
iv. Meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 demi
mewujudkan iklim yang kondusif dalam bentuk jaminan kebebasan akademik dan
autonomi universiti ke arah mempertingkatkan mutu pendidikan setanding dengan
negara-negara maju.
v. Memastikan perlantikan naib canselor, rektor, dan
lain-lain penjawat tertinggi akademik dilakukan berdasarkan kelayakan dan
kelulusan Majlis Senat.
vi. Memperbaiki mutu dan kemudahan sekolah yang daif di
pedalaman di Sabah dan Sarawak.
vii. Meningkatkan mutu pendidikan guru bagi setiap peringkat
sekolah dan menambah jumlah guru terlatih mengikut permintaan.
viii. Menyediakan peluang latihan peringkat tinggi untuk guru dan
pensyarah supaya pengetahuan dan kemahiran profesional mereka sentiasa selaras
dengan masa.
ix. Mengkaji kembali skim perkhidmatan guru dan menambah
skim rangsangan bagi mereka yang mengajar di pedalaman.
x. Menyediakan biasiswa berasaskan merit dan bantuan
kewangan lain berasaskan keperluan dengan keutamaan kepada pelajar miskin dari
kawasan luar bandar dan pedalaman.
xi. Menekankan betapa mustahaknya pelajar menguasai
pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Cina
sebagai bahasa-bahasa utama dunia dan juga bahasa-bahasa ibunda.
xii. Menyediakan tempat dan latihan kepada mereka yang keciciran.
xiii. Meluaskan skop Lembaga Pentauliahan Kebangsaan untuk
memantau dan mencadangkan pengiktirafan sijil, diploma dan ijazah dari dalam
dan luar negara yang memenuhi piawaian akademik yang boleh diterima termasuklah
sijil UEC dan Diploma Muadalah(diploma berkembar).
D – Wanita Dan Institusi Keluarga
Pakatan Rakyat meyakini bahawa
dasar-dasar yang mencerminkan penghormatan, pengiktirafan dan pemahaman
terhadap status dan potensi wanita dapat menjamin kesejahteraan masa hadapan
negara. Hakikat ini kerana wanita mewakili separuh dari penduduk negara,
justeru penyertaan mereka dalam proses pembangunan negara tidak boleh
diabaikan.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Menggubal akta bagi
memastikan golongan wanita mendapat layanan dan yang adil dalam segala
bidang.
ii. Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna
Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang
berbanding 46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.
iii. Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua
barisan pimpinan politik dan kerajaan.
iv. Menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan
anak-anak dengan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta
memastikan keberkesanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis.
v. Memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan
seperti pusat jagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di
pejabat kerajaan dan sektor swasta.
vi. Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu
tunggal yang miskin dan memerlukan.
vii. Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan
dan dasar-dasar negara.
viii.Memperkenalkan program
kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah.
ix. Mengiktiraf peranan suri
rumah di dalam pengukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada
pembangunan masyarakat dan negara.
E – Golongan Muda
Hala tuju dan kemakmuran sesebuah
negara terletak pada bahu golongan muda sebagai generasi pelapis. Justeru
adalah penting agar golongan muda diberikan ruang dan sokongan yang secukupnya
agar dapat memenuhi peranan mereka kelak.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Menjamin peluang dan hak
sama rata serta adil untuk golongan muda dari seluruh lapisan masyarakat bagi
merealisasikan potensi diri.
ii. Memastikan supaya tiada seorang belia akan
dibiarkan mengakhiri pendidikannya tanpa peluang memperolehi kelayakan atau
latihan yang secukupnya untuk menyumbang terhadap ekonomi kemahiran tinggi
negara.
iii. Mengiktiraf kepentingan peranan dan sumbangan oleh
golongan muda melalui perkongsian pendapat secara jujur dengan gerakan-gerakan
belia, khususnya dalam isu berkepentingan ke atas kehidupan mereka serta hala
tuju negara.
F – Keselamatan
Terdapat peningkatan jenayah dan
rasa tidak selamat di negara ini. Walhal rakyat Malaysia seharusnya berhak
merasa selamat dan bebas dari ancaman jenayah pada setiap masa. Pakatan Rakyat
bertekad memastikan pihak polis diurus, dilatih dan dikawalselia dengan lebih
baik untuk menjadikan mereka lebih fokus tentang tanggungjawab utama yakni
menentukan setiap kawasan dan rakyat Malaysia berada dalam keadaan aman dan
selamat.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Menjadikan polis bebas dan
profesional serta mengembalikannya kepada misi asal untuk mencegah jenayah dan
memastikan keselamatan awam.
ii. Merombak pengagihan tenaga polis supaya
bilangan tenaga polis yang cukup ditugaskan untuk membanteras jenayah.
iii. Melengkapkan pihak polis dengan peralatan dan latihan
yang terkini dalam usaha membanteras jenayah.
iv. Melaksanakan semua saranan Suruhanjaya Diraja
Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis, termasuk penubuhan IPCMC dan
penambahbaikan kebajikan polis yang giat berbakti kepada negara.
v. Memperbaiki keadaan perkhidmatan pasukan polis
khususnya peringkat bawahan bagi meningkatkan prestasi dan moral.
vi. Memperkukuhkan peranan masyarakat dalam pencegahan dan
pembanterasan jenayah melalui program komuniti.
vii. Menangani dengan strategik dan tuntas segala masalah sosial
yang menjadi punca kepada jenayah.
G – Kesihatan
Setiap rakyat Malaysia berhak
menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang terbaik pada kos yang berpatutan.
Oleh yang demikian, perkhidmatan kesihatan awam sewajarnya diperkasakan secara
tuntas, sekaligus menjamin perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Menimbangkan penubuhan
Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan
kesihatan awam supaya lebih setanding dengan perkhidmatan sektor swasta.
ii. Menjamin perkhidmatan kesihatan awam yang cekap,
meluas dan bermutu kepada semua rakyat, pada kadar yang munasabah.
iii. Meningkatkan skim ganjaran untuk kakitangan perubatan
di hospital awam.
iv. Memeriksa dengan teliti keadaan kemudahan
penjagaan kesihatan yang telah diswastakan bagi melindungi kepentingan rakyat.
H – Kebudayaa
Kepelbagaian adalah hakikat
sosio-budaya nasional, yang tercerna daripada kemajmukan masyarakat,
bermunculan daripada kaum-kaum utama, suku-suku kaum dan wilayah-wilayah.
Oleh itu Pakatan Rakyat mengambil
bertanggungjawab untuk memupuk dan mengembangkan potensi kepelbagaian ini di
samping menolak sebarang bentuk hegemoni adi-budaya kepada mana-mana sosok
budaya yang lain. Ia tidak lain sejajar dengan semangat kemerdekaan negara yang
kemudiannya perlu digilap menjadi Muafakat Kebudayaan Baru lanjutan Dasar
Kebudayaan Kebangsaan (1971).
Tiga cabaran utama yang wajar
disedari adalah dengan:-
i. Menjamin kebebasan
pengucapan penghasilan karya melalui semua medium.
ii. Hak untuk mengadakan
persembahan atau pertunjukan seni-budaya tanpa sekatan dengan keyakinan awal
bahawa setiap pengkarya ada tanggungjawab diri dan sosial mereka.
iii. Pautan utuh terhadap akar
kemurnian kebudayaan tradisi sendiri wajar ditambahkuat dengan kesediaan
menjadi tidak canggung untuk menerima unsur murni kebudayaan luar yang bersifat
sejagat daripada bangsa, benua dan faham kepercayaan manapun.
4. Hubungan Persekutuan - Negeri dan Dasar Luar Negara
A – Sistem Persekutuan
Hak negeri-negeri untuk membuat
pilihan mengikut kesesuaian sendiri mengenai strategi pembangunan negeri mesti
dihormati. Teras kepada hak ini adalah peruntukan kewangan yang secukupnya
kepada negeri-negeri berdasarkan sumbangan terhadap persekutuan serta keperluan
rakyat.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Menjamin royalti sebanyak
20% daripada hasil petroleum kepada kerajaan negeri dengan matlamat membasmi
kemiskinan di kalangan rakyat.
ii. Memulangkan sebahagian daripada kutipan cukai
dari setiap negeri kepada negeri tersebut berdasarkan pengagihan yang adil.
iii. Menambah geran per kapita untuk negeri-negeri.
B – Sabah dan Sarawak
Semangat Perjanjian Malaysia 1963
akan dijadikan asas kepada hubungan adil antara Persekutuan dengan Sabah dan
Sarawak. Di samping memulihkan imbangan kuasa yang memihak kepada kerajaan
pusat.at sebelah, Pakatan Rakyat berjanji membuat penilaian yang adil dan
terbuka mengenai persoalan pokok yang kini menghalang kemajuan politik dan
sosioekonomi di kedua-dua negeri di Malaysia Timur.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Memastikan khazanah negeri
Sabah dan Sarawak dinikmati sepenuhnya oleh rakyatnya dengan memperuntukkan
royalti 20% daripada pendapatan petroleum mereka.
ii. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja demi mencari jalan
penyelesaian terbaik untuk isu pendatang asing.
iii. Menjamin hak Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli oleh
mana-mana pihak.
iv. Menghentikan dengan serta-merta penindasan terhadap
rakyat kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika
C – Dasar Luar Negara
Kepimpinan Malaysia di kalangan
negara-negara dunia mesti dipertingkatkan. Adalah menjadi matlamat kita untuk
merangka satu dasar luar yang berasaskan prinsip keadilan sejagat, penyelesaian
melalui perundingan, dialog antara peradaban demi keselamatan, keamanan dan
kemakmuran.
Pakatan Rakyat akan:-
i. Memelihara
kepentingan negara dengan menjadi warga dunia yang bertanggungjawab di dalam
menghormati hak asasi, memelihara prinsip-prinsip demokrasi dan menjunjung
permuafakatan, perjanjian, pengisytiharaan dan persetujuan antarabangsa, yang
sejajar dengan nilai-nilai keadilan.
ii Aktif menjadi
pelopor dan peneraju dialog antara peradaban.
iii. Mengukuhkan kerjasama
diplomatik dan perdagangan antarabangsa dengan rakan-rakan serantau terutamanya
anggota-anggota Asean.
iv. Memperkukuhkan lagi
peranan Malaysia dalam organisasi-organisasi antarabangsa.
JIKA TAKUT BERJUANG, JANGAN CAKAP SOAL PERJUANGAN!!