Pada 23 April 1975, menyingkap sejarah kejatuhan USNO suatu ketika dahulu yang retak menanti belah. Pada tarikh tersebutlah perjumpaan Jawatankuasa Tertinggi USNO, di mana Tun Mustapha telah membentangkan satu kertaskerja yang bertajuk ‘Kedudukan dan Masa Depan Sabah Dalam Malaysia’ yang dirangka oleh ahli-ahli USNO sendiri sebelum BERJAYA dilahirkan di Sabah dengan rasminya.
Tindakan Tun Mustapha itu telah mencemaskan pemimpin-pemimpin Kuala Lumpur. Dan, malang bagi Tun kerana beliau terlalu percaya dan yakin dengan orang-orang bawahannya sehingga menyerahkan banyak hal perkara sulit, sehinggakan beliau sendiri akhirnya menerima padah.
Datuk Harris Salleh, orang kesayangan Tun Mustapha ketika itu dapat merasakan dan tahu siapakah orang-orang yang membantu Tun merangka kertaskerja berkenaan ‘Kedudukan dan Masa Depan Sabah Dalam Malaysia’ yang amat kontroversi masa itu.
Kemuncak kejatuhan USNO di bawah Tun Mustapha ialah apabila Kuala Lumpur memberikan sokongan kepada BERJAYA. Tun berpendapat kekalahan USNO pada pilihanraya 1976 dengan BERJAYA waktu itu adalah berpunca dari pemberian cek bernilai Lima Ratus Ribu dari Ibu Pejabat UMNO Kuala Lumpur kepada BERJAYA.
Menurut buku S.H Alattas bertajuk ‘Sarawak Kepada Siapa Hendak Diserahkan’, konon ada beberapa pihak yang telah mendakwa bahwa Tun Mustapha digulingkan selaku Ketua Menteri Sabah ketika itu adalah kerana hasratnya ingin membawa Sabah keluar dari Malaysia. Tetapi, tiada siapa yang dapat mengesahkan dan tahu sejauh mana kebenaran dakwaan itu.
Ada juga dikalangan pemimpin-pemimpin ketika itu menyebut, Tun Mustapha dijatuhkan adalah kerana sedang dalam saat mengislamkan rakyat Sabah. Pengembangan agama Kristian ketika itu juga semakin memuncak di Filipina, Sabah dan Sarawak.
Menyedari hakikat ini di mana ramai anak pribumi telah memeluk agama Kristian masa itu, Tun pun telah berusaha untuk meluaskan empire Islam di Sabah. Namun demikian, ada juga golongan luar yang sedang berusaha menjatuhkan beliau. Sekiranya Tun Mustapha dapat digulingkan, maka pengembangan empire Islam di Sabah dapat dihindarkan.
Isu perselisihan faham di antara Tun Mustapha dan Tun Razak juga diperbesar-besarkan. Golongan pro komunis sedang mengatur agendanya, banyak kata-kata mereka termakan oleh Tun Razak. Golongan pro komunis ini telah menyedari bahwa sekiranya Tun Mustapha tidak dijatuhkan dengan segera, maka pakatan atau agenda mereka itu akan terbongkar akhirnya.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abdul Rahman Yaakub juga adalah antara pemimpin yang dikaitkan bersengkongkol menjatuhkan Tun Mustapha. Datuk Abdul Rahman Yaakub dikatakan banyak terhutang budi kepada Tun Mustapha kerana membantu menaikkan beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak ketika itu.
Tun Mustapha menyokong penuh perlantikkan Datuk Abdul Rahman Yaakub sebagai Ketua Menteri Sarawak walaupun ketika itu Tun Razak masih lagi tercari-cari seorang pemimpin yang benar-benar layak dan selaras dengan kehendak orang-orang ‘federal’.
Tun Mustapha terlalu percaya Datuk Abdul Rahman Yaakub, dan ditambah lagi dengan hubungan baik sebagai rakan sejawat negara jiran. Maka itu pada 23 April 1975, Tun telah mengundang beliau bersama-sama Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj untuk membincangkan kertaskerja ‘Kedudukan dan Masa Depan Sabah Dalam Malaysia’ yang amat penting, sulit dan penuh tragic itu.
Tatapi, kemudian terdengar pula konon Datuk Abdul Rahman Yaakub bersama Ghaffar Baba dan seorang penasihat kepercayaan Tun Razak ketika itu telah membantu membentuk BERJAYA sebelum kekuasaan Tun Mustapha dapat dikuburkan.
Buku S.H Alattas ini juga mengulas majalah ‘Far Eastern Economic Review’ keluaran 26 Oktober 1976 yang menyebut bahwa Tun Razak dan Tengku Razaleigh telah menghantar cek Lima Ratus Ribu kepada BERJAYA, manakala Datuk Abdul Rahman Yaakub menyediakan pekerja-pekerja UMNO dari Semenanjung Malaysia dan pegawai Saberkas ke Sabah untuk menarik undi orang Islam kepada BERJAYA.
Pada 15 Mac 1977 menurut S.H Alattas, majalah ini sekali lagi memberikan komentar dengan menghuraikan panjang lebar krisis di antara Tun Mustapha dan Datuk Abdul Rahman Yaakub. Semasa dalam krisis di antara dua tokoh kontroversi ini, pertemuan telah diusahakan yang mana secara tidak langsung Tunku Abdul Rahman telah memainkan peranan untuk menemukan kedua-duanya semasa konvensyen USIA di Kota Kinabalu pada 25 – 26 February 1977.
Dalam pertemuan penuh bersejarah itu, Tun Mustapha dan Datuk Abdul Rahman dilaporkan berbual panjang lebar tentang politik dan dakwah. Difahamkan juga masing-masing kadangkala tersenyum dan bergurau senda.
Krisis peribadi berlakunya di antara Tun Mustapha dengan Datuk Abdul Rahman Yaakub bermula sejak pembentukkan BERJAYA. Menurut majalah ‘Far Eastern Economic Review’ ini lagi, Tun pernah berkata, “ada pihak dari Kuching dan Kuala Lumpur yang menikam saya dari belakang”.
Seseorang pemimpin itu jatuh bukan kerana kealpaan atau kebodohannya semata, tetapi juga disebabkan oleh terlalu mempercayai orang lain yang sedang merencana agenda atau mempermainkan kepimpinan pemimpin tersebut.
Dalam buku ini juga telah menyatakan bahwa, kejatuhan Tun Mustapha adalah kerana satu rencana halus diatur oleh Datuk Harris Salleh, Tun Ghaffar Baba dan Tun Razak. Pada awalnya, Tun Mustapha ketika itu sedang ‘grooming’ Datuk Harris dengan penuh yakin dan kepercayaan. Namun demikian, Datuk Harris akhirnya berpaling tadah dan menikam Tun Mustapha dari belakang.
Mengapa Datuk Harris Salleh tergamak sekali menjatuhkan Tun Mustapha?. Pada perkiraan penganalisis politik bijak pandai, Datuk Harris sebenarnya tidak mempunyai agenda atau dendam kesumat sehingga sanggup menjatuhkan Tun Mustapha. Kononnya, ada golongan lain yang memperalatkan Datuk Harris sehinggakan menentang dan menikam Tun dari belakang.
Ketika itu juga adalah era Tun Razak, dan siapakah penasihat beliau ketika itu?. Dalam buku S.H Alattas ini ‘Sarawak Kepada Siapa Hendak Diserahkan’, ada jawabannya. Penasihat ini merupakan seorang penasihat peribadi Tun Razak dalam semua bidang, kecuali melibatkan hal-hal rumahtangga.
Penasihat ini dikatakan adalah orang kepercayaan sangat Tun Razak sehinggakan suatu ketika, semua kakitangan di Ibu Pejabat UMNO sangat takut akan kekuasaan beliau. Orang yang diberikan kepercayaan oleh Tun Razak ini pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana bersubahat dengan kegiatan Komunis.
Menurut K. Das dalam majalah ‘Far Eastern Economic Review’ pada keluaran 18 February 1977, penasihat Tun Razak itu mempunyai hubungan rapat dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan Ghaffar Baba. Secara umumnya, Dr. Mahathir Mohamad juga difahamkan kurang bersetuju dengan penangkapan penasihat tersebut kerana penglibatan dalam Komunis. Seorang lagi yang dikatakan menentang dengan keras penangkapan itu ialah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abdul Rahman Yaakub.
Selagi pemimpin itu tidak sedar ada para pengampu atau pembodek dan political oportunis disekelilingnya, maka itu juga pemimpin tersebut tentu mudah terjerumus ke dalam lembah kejatuhan seperti yang berlaku kepada Tun Mustapha bin Datuk Harun.
Bersambung.. ‘UMNO ke Sabah, lenyapnya USNO dalam arena politik Negara?’..